
MERCEDES-AMG GLC 43 4MATIC COUPÉ NIGHTFALL EDITION DILANCARKAN – HARGA MULA RM518K
Mercedes-AMG GLC 43 4MATIC Coupé Nightfall Edition rasmi dilancarkan di Malaysia sebagai model Nightfall Edition kedua selepas kejayaan siri GLA Nightfall Edition sebelum ini.
Model pemasangan tempatan (CKD) itu tampil dengan imej lebih agresif menerusi gabungan elemen AMG Night Package bersama kemasan gelap eksklusif yang menyerlahkan karakter sporty dan premium.
Antara perubahan utama ialah penggunaan kemasan Dark Chrome pada beberapa komponen luaran termasuk bilah gril hadapan, emblem model pada bahagian sisi dan belakang, serta logo bintang di belakang.
Penampilan lebih eksklusif itu turut dipadankan dengan penutup tangki minyak AMG berwarna perak krom bersama tulisan “AMG” dan aksen hitam.

Dari sudut prestasi, SUV coupé ini dijana enjin AMG 2.0 liter empat silinder turbo yang dibangunkan di Affalterbach mengikut falsafah “One Man, One Engine”.
Enjin tersebut menghasilkan kuasa 421hp dan 500Nm tork, selain menerima tambahan 14hp menerusi sistem mild hybrid 48-volt dengan belt-driven starter generator (RSG).
Prestasi yang ditawarkan sememangnya mengagumkan apabila model ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 4.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum elektronik 250 km/j.
Sistem stereng gandar belakang sehingga 2.5 darjah turut membantu meningkatkan kestabilan serta kelincahan ketika mengambil selekoh atau memandu di kawasan sempit.

Penampilan luaran diperkemaskan lagi dengan rim aloi AMG Y-spoke bersaiz 21-inci bersama angkup brek berwarna perak. Sistem lampu DIGITAL LIGHT pula mampu melaras pencahayaan secara automatik mengikut keadaan trafik dan jalan bagi memberikan tahap penglihatan lebih baik.
Ruang kabin mengekalkan identiti prestasi AMG menerusi tempat duduk sport AMG berbalut ARTICO, kemasan gentian karbon, serta stereng AMG Performance berbalut kulit nappa.
Sistem infotainmen MBUX turut dilengkapi paparan khas AMG bersama sistem audio Burmester 3D surround untuk pengalaman audio lebih premium.
Mercedes-Benz Malaysia menawarkan model ini pada harga RM518,888 atas jalan tanpa insurans bagi Semenanjung Malaysia.
Selain itu, pembeli turut boleh memilih pelan Agility+ by Mercedes-Benz yang menawarkan bayaran bulanan bermula RM6,688 bersama beberapa manfaat tambahan termasuk pilihan fleksibel di penghujung tempoh pembiayaan serta jaminan nilai masa hadapan kenderaan.
- BACA: KUALA LUMPUR KEMBALI MENYALA DENGAN JENTERA DUCATI SEMPENA WE RIDE AS ONE 2026
- BACA: HONDA ACCORD e:HEV 2026 DILANCARKAN DI THAILAND – TIGA VARIAN, HARGA MULA RM191K
- BACA: KERAJAAN TELITI CADANGAN TARIK SUBSIDI MINYAK GOLONGAN KAYA
- BACA: TOYOTA VIOS HEV, AKIBAT MASUK LAMBAT. TUGAS BERAT MENANTI



