Buletin

ISUZU MALAYSIA BUKA PENGEDARAN TRAK TUGAS SEDERHANA DAN BERAT PERTAMA DI MALAYSIA TIMUR

Isuzu Malaysia Sdn Bhd (Isuzu Malaysia) baru-baru ini meraikan pembukaan rasmi pengedar sah trak tugas sederhana dan berat (MHD) yang pertama di Malaysia Timur.

Terletak di Kuching, Sarawak, pengedar sah trak MHD yang dikenali sebagai Dai Max Automobile Sdn Bhd menawarkan perkhidmatan jualan, servis dan alat ganti. Pusat ini mudah dikunjungi pelanggan dan pemandu trak kerana lokasinya yang strategik kerana terletak berhampiran kawasan perindustrian.

Pusat pengedaran itu memiliki keluasan mencecah 3,000 meter persegi dengan bengkelnya sahaja seluas 650 meter persegi.

Dai Max Automobile mengambil masa selama lima tahun untuk menyiapkan dan membina pusat pengedar sah ini. Ia dibina berdasarkan kepada reka bentuk bengkel serta kemudahan terkini bagi memudahkan pergerakan trak untuk diselenggara.

Terdapat tiga ruang tambahan untuk kenderaan komersial dan jentera tugas ringan, dua ruang ekstra bagi trak-trak MHD.

Pusat ini juga mempunyai tempat letak kenderaan yang luas dan kemudahan fasiliti yang teratur bagi trak yang menunggu giliran mereka untuk diperiksa.

Dilengkapi peralatan diagnostik terkini Isuzu, alat ganti, pekerja terlatih dan juruteknik berkemahiran untuk mengenal pasti atau menyelesaikan apa jua masalah, pelanggan boleh mengurangkan masa tidak beroperasi kenderaan secara minimum.

Kemudahan seperti kawasan rehat yang mesra keluarga, ruang solat serta snek dan minuman percuma turut disediakan untuk para pemandu trak.

Dengan pembukaan terbaharu ini, Isuzu Malaysia kini mempunyai 11 pengedar sah MHD dengan 10 daripadanya terletak di lokasi yang strategik di beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia. 

Google ads
Back to top button