
PADA 1970 LAMBORGHINI URRACO DIPERKENAL, 2+2 TEMPAT DUDUK
Satu perkara menarik mengenai Lamborghini ialah keterbukaannya dalam mempelbagaikan model untuk pengguna. Sebagai contoh kenderaan off-road LM002 yang dikeluarkan pada tahun 1986 dan kemudian SUV Urus diperkenalkan pada tahun 2017.
Pada masa syarikat berprestasi lain baru pertama kali menawarkan SUV, Lamborghini telah bermula lama dahulu.
Satu lagi contoh yang tidak terikat kepada tradisi kereta berprestasi ialah Lamborghini Urraco yang merupakan sebuah coupé 2+2 atau dengan empat duduk.
Urraco diperkenalkan pada Oktober 1970 dan tahun ini merupakan ulang tahun ke 50.
Gayaan Urraco diserah kepada pereka terkenal Marcello Gandini yang pada masa itu adalah pereka prinsipal Carrozzeria Bertone.
Model ini terkenal disebabkan ciri teknikal yang begitu inovatif pada masanya hasil sumbangan jurutera Paolo Stanzani yang merupakan bapa teknikal Urraco dan Ketua Pegawai Teknikal Lamborghini.
Sewaktu mula diperkenalkan, Urraco menggunakan enjin 2.5 liter V8 yang diletakkan pada tengah kereta dan berkuasa 220 hp pada 7,800 rpm dengan kelajuan maksimum 245 km/j.
Enjin lapan silinder itu menggunakan overhead cam tunggal pada setiap bahagian (per bank). Karburator dari Weber 4 dengan dua badan (double-body) 40 IDF1.
Bentangan suspensi pula jenis bebas dengan sistem hentakan (strut) MacPherson pada bahagian depan dan belakang dan yang pertama untuk kereta produksi.
Satu lagi keunikan pada Urraco apabila ia dirancang untuk lebih bersahaja atau kurang artisanal berbanding model Lamborghini lain.
Penghasilkan Urraco dipengaruhi Ferruccio Lamborghini yang mahu mengembangkan pengeluaran syarikat dan menawarkan sebuah Lamborghini yang dapat dicapai oleh lebih ramai pelanggan namun masih kekal terhad.
Dari segi saiz, Urraco tampil sederhana dengan panjang 4.25 meter.
Berikut ialah susunan rangkaian kuasa Lamborghini Urraco:
- P250 Urraco – Huruf P merujuk kepada posisi enjin di belakang atau (posteriore). 250 pula adalah 2.5 liter dan model ini dikeluarkan dari tahun 1970 hingga 1976 dan sebanyak 520 unit dikeluarkan.
- Urraco P200 diperkenal dengan sesaran enjin dikurang kepada 1,994cc dan kuasa 182 hp. Ditawarkan dari 1974 hingga 1977 dan hanya 66 unit dikeluarkan.
- Urraco P300 dengan enjin 2,996cc dan kuasa 265 hp, dikeluarkan dari tahun 1975 hingga 1979 dengan jumlah pengeluaran sebanyak 190 unit.
BACA: LAMBORGHINI URUS GRAPHITE CAPSULE, MAIN WARNA PUN OKAY
BACA: LAMBORGHINI SIÁN FKP 37, DIBINA DARI 3696 KEPING LEGO
BACA: LAMBORGHINI HURACÁN EVO RWD – SENSASI ‘TARIK BELAKANG’