
JAC E10X – EV PERTAMA SKOR SIFAR BINTANG LATIN NCAP
Pusingan akhir ujian penilaian kereta baharu Latin NCAP turut menyenaraikan sebuah kereta elektrik buatan China yang mendapat skor sifar bintang.
JAC E10x merupakan sebuah hatchback berkuasa elektrik yang dilancarkan oleh syarikat kerjasama SEAT dan JAC Volkswagen Automotive.
Menurut Latin NCAP, JAC E10x bukan sahaja EV pertama yang mendapat penarafan sifar bintang, mereka mendapati EV tersebut tidak memutuskan sepenuhnya bekalan kuasa elektrik selepas ujian pelanggaran impak hadapan.

Selain itu, EV JAC E10x itu juga hanya dibekalkan dengan spesifikasi dua beg udara manakala ciri ESC dibekalkan sebagai satu pilihan.
Ciri keselamatan lain seperti brek kecemasan autonomi, bantuan lorong dan kelajuan tidak langsung ditawarkan pada model EV ini.
Secara keseluruhan, JAC E10x mendapat markah 0.00 peratus dalam perlindungan penumpang dewasa, 6.34 peratus untuk penumpang kanak-kanak, 20.25 peratus untuk perlindungan pejalan kaki, serta 6.98 peratus untuk kategori bantuan keselamatan.
Latin NCAP turut menyebut, kereta tersebut mempunyai struktur yang tidak stabil pada bahagian kaki, serta perlindungan yang buruk terhadap dada pemandu yang memungkinkan kecederaan yang mampu membawa maut.









