
ROADSTER EV BUATAN CHINA INI LEBIH RINGAN, LEBIH PANTAS DAN LEBIH MURAH
Sebuah syarikat teknologi dari China yang mempunyai kaitan rapat dengan pengeluar telefon pintar Xiaomi kini mencuri perhatian dunia automotif menerusi sebuah kereta sport elektrik ringan dikenali sebagai SC01, yang menawarkan kuasa sehingga 430hp pada harga lebih rendah berbanding Mazda MX-5 di pasaran Amerika Syarikat.
Model tersebut dibangunkan oleh Tianjin Gongjiangpai Auto Technology (TGAT) bersama JMEV dan pertama kali diperkenalkan kepada umum pada 2022 sebelum memasuki pasaran China pada awal 2025 selepas melalui tempoh pembangunan selama tiga tahun.
SC01 tampil dengan rekaan yang mengingatkan kepada kereta sport Itali klasik seperti Lancia Stratos, selain dipasarkan pada harga permulaan 229,800 yuan (sekitar RM135,000). Walaupun berharga mampu milik, ia dilengkapi sistem pacuan dua motor elektrik yang menghasilkan 429hp.
Selepas setahun berada di pasaran domestik, SC01 kini bersedia menembusi Eropah menerusi syarikat SC01 Europe.

Sebanyak 1,000 unit akan dihasilkan secara tempatan di Itali dalam pengeluaran terhad. Harga jualannya di Eropah dijangka sekitar AS$71,000 (RM300,000), termasuk kos penghantaran dan cukai.
Apa yang menjadikan SC01 istimewa ialah fokus terhadap pengurangan berat. TGAT membangunkan casis tiub khas yang membantu meningkatkan ketegaran struktur sambil mengekalkan berat keseluruhan sekitar 1,360 kilogram. Angka itu jauh lebih ringan berbanding kebanyakan kereta sport elektrik moden, termasuk MG Cyberster yang melebihi 1,800 kilogram.
Usaha mengurangkan berat turut melibatkan penggunaan rim gabungan aluminium dan magnesium serta kabin minimalis tanpa skrin infotainmen besar. Sebaliknya, kebanyakan fungsi dikendalikan melalui butang fizikal, satu pendekatan yang semakin jarang ditemui dalam kereta moden.
Dari segi prestasi, SC01 mampu memecut dari 0 hingga 96 km/j dalam masa hanya 2.9 saat. Jarak perjalanan pula dianggarkan sehingga 500 kilometer mengikut kitaran ujian China (CLTC).

Model ini turut dilengkapi suspensi double wishbone di hadapan dan belakang, selain sistem brek berprestasi tinggi dengan angkup enam omboh di hadapan dan empat omboh di belakang.
Jarak roda sepanjang 2,503mm meletakkannya dalam kategori yang hampir sama dengan Porsche 718 Cayman.
Kehadiran SC01 dilihat sebagai cubaan baharu untuk mengatasi salah satu kelemahan utama kereta sport elektrik, iaitu berat berlebihan yang sering menjejaskan kelincahan dan pengalaman pemanduan.
Dengan gabungan kuasa tinggi serta berat yang lebih rendah, SC01 berpotensi menawarkan karakter pemanduan yang lebih hampir kepada kereta sport enjin pembakaran dalaman.
Walaupun begitu, cabaran masih wujud kerana kereta elektrik tidak menawarkan pengalaman transmisi manual dan bunyi enjin yang sering menjadi tarikan utama peminat kereta sport tradisional.
SC01 turut mendapat manfaat daripada kepakaran Xiaomi yang semakin menyerlah dalam industri automotif.
Sebelum ini, sedan elektrik berprestasi tinggi Xiaomi SU7 Ultra mencipta rekod sebagai sedan empat pintu terpantas di litar Nürburgring Nordschleife, mengatasi beberapa model premium yang jauh lebih mahal.
Buat masa ini, SC01 hanya akan ditawarkan di China dan Eropah. Pasaran Amerika Syarikat masih tertutup kepada kenderaan buatan China berikutan sekatan yang dikenakan kerajaan negara itu terhadap import automotif dari China.







