Buletin

JELAJAH MISI 5 DI UTARA TERIMA SAMBUTAN HANGAT, PROTON e.MAS 5 TARIK PERHATIAN ORANG RAMAI

Jelajah MISI 5 anjuran Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET), anak syarikat PROTON, yang berlangsung di bahagian Utara Semenanjung baru-baru ini telah mencuri tumpuan masyarakat setempat, khususnya di Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Program yang berlangsung dari 22 hingga 24 Ogos itu memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat lebih dekat model elektrik baharu, Proton e.MAS 5, sebelum pelancaran rasminya, dijadualkan pada Oktober nanti.

Selain dipamerkan di bilik pameran pengedar, e.MAS 5 turut dibawa ke lokasi-lokasi popular termasuk Pekan Rabu dan Tanjung Dawai di Kedah, Juru Auto City di Pulau Pinang serta Concubine Lane di Ipoh, sekali gus membolehkan masyarakat merasai sendiri bagaimana kereta elektrik ini sesuai dalam kehidupan seharian.

Seorang pemilik Proton e.MAS 7 yang ditemui di Proton e.MAS Sungai Petani berkata beliau amat berpuas hati dengan pengalaman menggunakan EV keluaran Proton.

Menurutnya, jarak perjalanan tidak lagi menjadi kebimbangan, malah beliau kini berhasrat menambah sebuah e.MAS 5 untuk kegunaan isterinya kerana reka bentuk yang kompak dan praktikal.

Sementara itu, seorang pengunjung di Proton e.MAS Pulau Pinang yang juga pelanggan setia Proton, K.P. Siva, berkongsi keterujaannya melihat evolusi jenama nasional tersebut.

Beliau yang pernah memiliki Proton Waja dan Persona berkata kemunculan e.MAS 5 membuktikan Proton terus bergerak seiring dengan teknologi masa kini.

Ketua Pegawai Penjenamaan PRO-NET, Puan Salawati Yusoff menjelaskan sambutan masyarakat di Utara amat positif.

Katanya, setiap lokasi yang dikunjungi menampilkan perspektif berbeza, ada yang melihat dari aspek keselesaan keluarga, ada pula lebih menekankan kepada pemanduan bandar dan kemudahan pengecasan.

“Ini menunjukkan Proton e.MAS 5 mempunyai kelebihan untuk disesuaikan dengan gaya hidup berbeza masyarakat di negara ini,” katanya.

Selepas kejayaan di Utara, Jelajah MISI 5 akan diteruskan ke Pantai Timur dari 5 hingga 7 September ini.

Proton e.MAS 5 bakal dipamerkan di Kelantan, Terengganu dan Pahang, termasuk di lokasi tumpuan seperti Pasar Siti Khadijah, Jambatan Angkat Kuala Terengganu serta pantai Teluk Cempedak di Kuantan.

Google ads
Back to top button