Buletin

JENAMA PELINCIR DUCKHAMS YANG LEGENDA INI BAKAL KEMBALI!

Minyak pelincir Duckhams ini memang legenda dan begitu popular dalam siri perlumbaan berpuluh tahun dahulu. Minyak pelincir ini dibangunkan oleh Alexander Duckhams pada tahun 1899 dan walaupun sudah berusia lebih dari seratus tahun, reputasi dan jenamanya sepi untuk beberapa tahun kebelakangan ini. 

Duckhams dimiliki oleh BP pada tahun 1970 dan lima tahun selepas itu menaja Team Lotus dalam perlumbaan Formula 1. Tahun-tahun selepasnya adalah tempoh masa yang gah buat Duckhams apabila ia banyak terlibat dalam sukan permotoran.

Duckhams pada satu masa dahulu dieksport ke lebih 60 buah negara dan merupakan pelincir rasmi untuk kereta buatan Britain seperti MG, Morris, Wolseley, Rover dan BMC.

Selepas 40 tahun berada dalam pemilikan BP, syarikat itu dilaporkan mencari pemilik baharu untuk Duckhams pada tahun 2011. Lanjutan daripada hasrat tersebut, tidak kedengaran lagi tentang minyak pelincir ini sehinggalah pada 31 Oktober lalu keluar satu hebahan mengatakan Duckhams bakal dihidupkan kembali tidak lama lagi.

Ini berita sahih. Duckhams bakal kembali dan buat permulaan akan menghasilkan minyak pelincir untuk kenderaan klasik sebelum menawarkan produk untuk kenderaan moden dan menariknya jentera perlumbaan.

Tidak dapat dipastikan kenapa Duckhams mengambil keputusan untuk menawarkan pelincir kenderaan klasik. Apa pun ia strategi menarik memandangkan Duckhams memang mempunyai pengaruh kuat dalam dunia permotoran yang kini telah menjadi klasik.

Di acara NEC Classic Motorshow yang diadakan di Birmingham dari 10 hingga 12 November 2017, Duckhams akan dilancarkan semula dengan dua gred tunggal, SAE30 dan SAE40 dan pelincir pelbagai gred Duckhams Classic Q20w-50. 

Selain itu, pada acara sama Duckhams akan meraikan warisan permotoran mereka dengan mempamerkan Ford RS500 British Touring Car yang dipandu oleh Tim Harvey. Kereta saloon berkuasa 560 bhp dikatakan sebagai satu-satunya unit di dunia yang masih dalam spesifikasi BTCC asal.

Duckhams mempunyai sejarah yang kuat dalam sukan permotoran. Di antara nama-nama hebat yang sinonim dengan jenama ini ialah John Surtees berjaya menyertai Formula 1 hasil sokongan Duckhams, Ari Vatanen memenangi Kejohanan Pemandu Rali Dunia dengan Duckhams Ford Escort dan melalui kerjasama yang panjang dengan pasukan Formula Ford Van Diemen, Duckhams telah melancarkan kerjaya Nigel Mansell, David Coulthard dan legenda Ayrton Senna.

Google ads
Back to top button