Buletin

SEMA 2017: HONDA PAMER CIVIC TYPE R, CIVIC SI DAN GO-KART GUNA ENJIN CRF250R

Apabila berada dalam kelompok pengeluar antarabangsa yang popular dan diminati ramai tidak dapat tidak, jadual memang sentiasa padat dengan pelbagai aktiviti. Sebagai contoh sekarang ini sedang berlangsung Pameran Kenderaan Tokyo (TMS) ke-45 di mana Honda telah mempamerkan pelbagai kenderaan dan inovasi hebat. 

Selain TMS, Honda juga sibuk dengan pameran Specialty Equipment Market Association (SEMA) yang berlangsung dari 31 Oktober hingga 3 November. Pada pameran ini, Honda buat julung kalinya telah mengumumkan penawaran enjin Civic Type R 2.0 liter VTEC Turbo untuk pasaran Amerika Syarikat. 

Satu perkara menarik tentang SEMA ia sebenarnya adalah acara perdagangan khusus untuk mereka yang terlibat dalam industri aftermarket dan tidak dibuka untuk kunjungan umum kecuali pada malam akhir pameran. Itu pun pada majlis penutup.

Walaupun begitu, ini tidak bermakna orang awam tidak boleh mengetahui apa isi dalam dan seperti yang dikongsikan oleh Honda, pelbagai jentera dibawa ke SEMA dari enjin, motosikal, kereta lumba hinggalah go-kart. 

Berikut ialah produk yang dipamerkan Honda di SEMA 2017:

Enjin Civic Type R

Seperti yang kami laporkan sebelum ini, pelumba di AS akhirnya dapat memiliki enjin Honda Civic Type R K20C1 VTEC Turbo berkuasa 306 hp dan 400 Nm ini. Pelumba di AS terpaksa menunggu lama dari memiliki enjin Type R berbanding pasaran lain seperti Eropah dan Asia yang telah bertahun menggunakan enjin tersebut dalam kereta lumba mereka. 

Enjin ini ditawarkan oleh program Honda Racing Line yang memang bertanggung jawab dalam pembekalan peralatan prestasi kepada pelumba Honda. Harga enjin ini ialah USD 6,519.87 dan berpatutan jika di kira dengan kos sara hidup di sana. 

Honda Civic Coupe Red Bull Global Rallycross 

Satu perkara menarik tentang pasaran AS ialah model coupe atau Si yang ditawarkan di sana. (Bayangkan Integra DC5, Proton Putra). Honda turut mempamerkan model Red Bull Global Rallycross Civic Coupe yang digunakan untuk bersang dalam Kejohanan Rallcross Global Red Bull.

Dengan kerjasama Red Bull dan OMSE Racing, kereta Red Bull GRC Coupe ini mempunyai output kuasa lebih dari 600 hp dan mampu memecut ke 97 km/j kurang dari dua saat dan mengambil loncatan sehingga 70 kaki. 

Pirelli World Challenge Civic Si

Selain Civic Coupe, honda turut mempamerkan Civic Si yang bertanding dalam Pirelli World Challenge. Kereta ini dibina menggunakan peralatan prestasi daripada HPD seperti enjin, transmisi, suspend dan komponen brek. Program Honda Racing Line HPD bukan sahaja menjual casis Civic Si dan peralatan prestasi tetapi juga menawarkan khidmat sokongan kejuruteraan dari jurutera HPD yang membangungkan dan menguji produk ini.

F3 Americas Series 

Kereta F3 ini menggunakan enjin Civic Type R Turbo K20C1 versi HPD berkuasa 240 – 270 hp. Enjin yang sama tanpa turbo pula digunakan untuk kereta F4. Kereta F3 ini menggunakan casis rekaan dan buatan AS iaitu Ligier Crawford.

Baja 1000 50th Anniversary Honda Ridgeline Off-Road Race Truck

Ini adalah pikap Honda yang tidak dijual di banyak negara dunia. Honda Baja Ridgeline Concept Truck 2017 dikuasakan oleh enjin HPD HR35TT 3.5 V6 engine. Honda memang handal dalam perlumbaan dan ini dibuktikan apabila ia menjuarai kelas Baja 1000 dua kali berturut-turut sejak 2015. Selepas SEMA, Honda akan kembali berlumba untuk merebut gelaran ketiga pula.

Civic Si dengan naik taraf enjin 2.0T

Ini adalah contoh kereta Honda Civic Si dengan enjin Civic Type R yang dibeli berasingan. Kereta ini dibina dan digunakan untuk perlumbaan oleh jurutera Honda iaitu Kevin Boehmn. Selain enjin K20C1 Turbo, casis Civic Si ini turut dibekalkan oleh HPD dan menggunakan pelbagai peralatan perlumbaan HPD dan juga peralatan Alat Ganti Tulen Honda.

250cc 4-Stroke Concept Shifter Kart

Go-kart ini menggunakan enjin CRF250R. Enjin empat lejang ini menggunakan penghidup elektrik dan menawarkan talaan ringkas untuk pelbagai keadaan dan lebih tahan lasak selain penyelenggaraan kitaran hidup lebih rendah berbanding enjin dua lejang.

THR-W Road Racing Endurance Type R

Honda Civic Type R ini hanya dalam keadaan standard memandangkan ia bakal digunakan dalam perlumbaan endurans 2017 National Auto Sport Association’s “25 Hours of Thunderhill pada bulan Disember ini. Dua buah Civic Type R akan digunakan dalam perlumbaan yang disertai oleh Team Honda Research West. 

Pasukan ini ditubuhkan pada tahun 1996 sebagai kelab pasukan oleh staf Honda bagi menghidupkan falsafah Honda Racing Spirit, sambil meningkatkan kemahiran teknikal dan pengetahuan mereka.

Sebelum perlumbaan pada bulan Disember, pasukan akan terlebih dahulu menyertai perlumbaan 2017 FIA 24 jam pusingan akhir di Litar Amerika di Austin, Texas, pada bulan November menggunakan dua buah Civic Si Coupe standard.

2018 HFP Series Kit dan Civic Type R Red Carbon Kit

Ini aksesori untuk pemilik Civic Type R. Kit Civic Type R Red Carbon ini terdiri daripada pelbagai barangan hiasan seperti pelindung cermin sisi, spoiler dan panel interior. Selain kit ini, pemilik juga boleh mendapatkan pelbagai barangan lain seperti tombol gear merah dari kulit, ambang pintu dengan iluminasi logo R, konsol tengan bercahaya dan selimut kereta yang eksklusif untuk Civic Type R.

Google ads
Back to top button