Buletin

JETOUR TOURER MUNCUL DENGAN GABUNGAN RETRO DAN MODEN – HADIR PILIHAN AWD

Jetour dijangka memperluaskan portfolio kenderaan elektriknya menerusi sebuah SUV elektrik serba baharu yang dipercayai akan menggunakan nama Jetour Tourer.

Model berkenaan baru-baru ini muncul dalam dokumen permohonan kelulusan yang didedahkan oleh Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat (MIIT) China.

Dari segi penampilan, SUV ini tampil dengan identiti tersendiri yang berbeza daripada model Jetour sedia ada. Bahagian hadapan menampilkan jalur kemasan hitam yang menghubungkan kedua-dua lampu utama, lengkap dengan logo jenama di bahagian tengah.

Lampu hadapan berbentuk bulat memberikan sentuhan klasik, manakala tiang A berwarna hitam mewujudkan ilusi bumbung terapung yang lebih moden.

Rekaan bampar hadapan turut diserlahkan dengan bukaan udara berbentuk trapezoid serta elemen kemasan di sisi yang menyerupai saluran pengudaraan, sekali gus menambah karakter lasak pada SUV ini.

Dari aspek saiz, model baharu ini mempunyai panjang 4,475mm, lebar 1,880mm dan tinggi sehingga 1,710mm, dengan jarak roda 2,735mm. Ia akan ditawarkan dengan pilihan rim 18-inci dan 19-inci. Sudut pendekatan dan sudut pelepasan masing-masing direkodkan pada 20 darjah dan 22 darjah.

Bahagian belakang pula mengekalkan tema yang sepadan dengan rekaan hadapan menerusi penggunaan lampu belakang berbentuk bulat pada kedua-dua sisi, sekali gus memperkukuhkan identiti visual model ini.

Untuk prestasi, Jetour bakal menawarkan pilihan pacuan dua roda (2WD) dan pacuan semua roda (AWD).

Varian 2WD dilengkapi motor elektrik berkuasa 200kW, manakala versi AWD menggunakan gabungan dua motor dengan kuasa maksimum 75kW di gandar hadapan dan 200kW di gandar belakang.

Sistem bekalan tenaga pula menggunakan bateri lithium iron phosphate (LFP), yang semakin popular dalam kalangan pengeluar kenderaan elektrik kerana ketahanan dan tahap keselamatannya yang tinggi.

Maklumat lanjut mengenai SUV elektrik baharu ini dijangka diumumkan dalam masa terdekat apabila Jetour bersedia untuk memperkenalkannya secara rasmi ke pasaran.

Google ads
Back to top button