Buletin

VOLKSWAGEN TAYRON R-LINE 2026 DILANCARKAN – JANA 265PS, HARGA MULA RM237K

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) melancarkan Volkswagen Tayron R-Line serba baharu, model SUV premium yang menjadi varian tertinggi dalam keluarga Tayron.

Model pemasangan tempatan (CKD) itu diposisikan di antara Tiguan dan Touareg, Tayron melengkapkan rangkaian SUV Volkswagen dengan menawarkan konfigurasi tujuh tempat duduk yang lebih praktikal.

Varian R-Line tampil dengan karakter lebih sporty menerusi sistem pacuan semua roda 4MOTION, talaan prestasi yang lebih agresif dan elemen reka bentuk eksklusif R-Line.

Dari segi kuasa, Tayron R-Line menggunakan enjin pengecas turbo 2.0 liter TSI yang menghasilkan 265PS dan tork maksimum 400Nm.

Kuasa disalurkan menerusi transmisi DSG tujuh kelajuan bersama sistem pacuan semua roda pintar 4MOTION yang membantu meningkatkan cengkaman dan kestabilan dalam pelbagai keadaan jalan.

Turut melengkapkan pakej pemanduan ialah sistem Dynamic Chassis Control Pro (DCC Pro) dengan penyerap hentak dua injap boleh laras yang mampu menyesuaikan tetapan suspensi mengikut permukaan jalan dan gaya pemanduan, sekali gus menawarkan keseimbangan antara keselesaan dan pengendalian.

Penampilan luaran diserlahkan dengan lampu utama IQ.Light HD Matrix, logo Volkswagen bercahaya di hadapan dan belakang, serta lampu belakang 3D LED dengan isyarat membelok dinamik. Sentuhan khas R-Line pada bampar dan sisi badan turut memberikan imej lebih atletik.

Di dalam kabin, Tayron R-Line menawarkan tempat duduk hadapan ergoActive Plus berbalut kulit Varenna dengan pelarasan elektrik 12 hala, fungsi pemanas, pengudaraan dan urutan.

Sistem audio Harman Kardon berkuasa 700 watt pula menampilkan 11 pembesar suara termasuk subwoofer untuk pengalaman audio yang lebih premium.

Susun atur tempat duduk yang fleksibel membolehkan ruang kargo diperluaskan sehingga 1,905 liter apabila barisan kedua dan ketiga dilipat. Pintu belakang bebas tangan turut memudahkan urusan memuatkan barangan.

Sistem infotainmen Discover Pro Max bersaiz 15-inci yang dipadankan dengan perisian MIB4 terkini menjadi pusat kawalan utama kenderaan. Ia turut disokong oleh Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, Digital Cockpit Pro 10.25-inci, paparan head-up serta pembantu suara pintar IDA Volkswagen.

Dari aspek keselamatan, Tayron R-Line dilengkapi rangkaian sistem bantuan pemanduan IQ.DRIVE yang merangkumi pelbagai teknologi keselamatan aktif dan pasif bagi meningkatkan perlindungan serta keyakinan pemandu.

Spesifikasi Utama Volkswagen Tayron R-Line

  • Enjin: 2.0-liter TSI turbo
  • Kuasa maksimum: 265PS
  • Tork maksimum: 400Nm
  • Transmisi: DSG 7-kelajuan
  • Sistem pacuan: 4MOTION (AWD)
  • Suspensi: Dynamic Chassis Control Pro (DCC Pro)
  • Tempat duduk: 7 penumpang
  • Kapasiti ruang kargo maksimum: 1,905 liter
  • Sistem infotainmen: Discover Pro Max 15-inci
  • Paparan instrumen digital: Digital Cockpit Pro 10.25-inci
  • Sistem audio: Harman Kardon 700W dengan 11 pembesar suara
  • Tempat duduk hadapan: ErgoActive Plus dengan fungsi pemanas, pengudaraan dan urutan
  • Lampu utama: IQ.Light HD Matrix LED
  • Ciri sambungan: Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar
  • Paparan head-up
  • Beg udara: 9 unit termasuk beg udara tengah hadapan

Antara ciri keselamatan utama:

  • Travel Assist dengan Adaptive Cruise Control (ACC)
  • Lane Assist
  • Side Assist
  • Rear Traffic Alert with Exit Warning
  • Front Assist dengan pengesanan pejalan kaki dan penunggang basikal
  • Park Assist Plus
  • Emergency Exit
  • Proactive Passenger Protection System
  • Driver Attention Monitor

Volkswagen Tayron R-Line ditawarkan pada harga RM237,490 termasuk Volkswagen Assurance Package (VAP) yang merangkumi penyelenggaraan percuma, jaminan pengeluar dan bantuan tepi jalan selama lima tahun.

Model ini kini boleh dilihat di semua bilik pameran Volkswagen di seluruh negara bermula 13 Ogos, manakala kedua-dua varian Tayron turut dipamerkan di acara Volkswagen Tour di 1 Utama sehingga 31 Ogos 2026.

GALERI:

Google ads
Back to top button