Buletin

JETOUR ZONGHENG F700 TIBA DI BILIK PAMERAN, PIKAP HIBRID 904HP BAKAL DILANCARKAN 6 OGOS

JETOUR mula menghantar pikap hibrid plug-in (PHEV) baharunya, Zongheng F700, ke bilik pameran di seluruh China menjelang pelancaran rasmi model itu pada 6 Ogos ini.

Kehadiran unit pameran membolehkan pelanggan melihat sendiri versi produksi sebelum jualan bermula.

Sebelum ini, Jetour telah membuka tempahan awal pada harga 364,900 yuan (sekitar RM209,000), namun harga muktamad bagi setiap varian serta jadual penghantaran masih belum diumumkan.

Zongheng F700 dibangunkan sebagai pikap gaya hidup premium yang menggabungkan prestasi tinggi, keupayaan off-road dan teknologi elektrifikasi.

Dari segi dimensi, model ini berukuran 5,495mm panjang, 2,050mm lebar dan 1,985mm tinggi, dengan jarak roda sepanjang 3,350mm. Ruang kargo pula berukuran 1,520mm x 1,520mm x 570mm.

Reka bentuknya turut dilengkapi beberapa ciri praktikal seperti titik ikatan kargo, sistem bekalan kuasa luaran Vehicle-to-Load (V2L) 6.6kW, pintu belakang yang disepadukan dengan lampu belakang serta anak tangga tambahan di belakang roda untuk memudahkan akses ke ruang muatan.

Kuasa digerakkan oleh sistem Kunpeng Super Performance Hybrid CDM-O, yang menggabungkan enjin 2.0 liter turbo berkuasa 155kW bersama transmisi Dual Hybrid Transmission (DHT) dua kelajuan.

Gabungan sistem itu menghasilkan kuasa keseluruhan sehingga 665kW (904hp) dan 1,135Nm tork, menjadikannya antara pikap PHEV paling berkuasa dalam kelasnya.

Model ini turut menggunakan seni bina elektrik 800V bersama bateri CATL Shenxing 4C dwi-lapisan, dengan jarak perjalanan gabungan yang didakwa mampu mencapai sehingga 1,300 kilometer. Bagaimanapun, kapasiti bateri, jarak pemanduan elektrik sepenuhnya dan tempoh pengecasan masih belum didedahkan.

Bagi memenuhi keperluan pemanduan lasak, F700 dibina menggunakan casis ladder frame bersepadu bersama badan bukan monokok, dipadankan dengan suspensi bebas jenis double wishbone di hadapan dan belakang, tiga kunci diferensial serta 15 mod pemanduan.

Ruang kabin pula menawarkan konfigurasi empat atau lima tempat duduk, selain dilengkapi skrin infotainmen tengah bersaiz 15.6-inci, paparan digital 35.4-inci Zongheng Skyline, cip pemproses Qualcomm Snapdragon 8255, sistem operasi Zongheng OS serta sistem bantuan pemandu Falcon 500.

Jetour turut merancang pengembangan model ini ke pasaran luar negara. Afrika Selatan disahkan bakal menerima model tersebut pada 2027 dengan nama Jetour P5, manakala beberapa pasaran pemanduan sebelah kiri dijangka mula menerima model itu bermula penghujung 2026.

Pasaran pemanduan sebelah kanan, termasuk negara lain, masih dalam penilaian.

Google ads
Back to top button