
BYD RACCO RASMI DILANCARKAN DI JEPUN – HARGA MULA RM53K
BYD secara rasmi melancarkan model elektrik kompak terbaharunya, Racco, di Jepun sekali gus menandakan kemasukan pertama pengeluar automotif China itu ke dalam segmen K-Car.
Model hatchback elektrik itu ditawarkan pada harga bermula 2.145 juta yen (sekitar RM53,579) termasuk cukai, manakala harga sebelum cukai ialah 1.95 juta yen (sekitar RM48,750).
Pembeli turut layak menerima subsidi EV kebangsaan Jepun sebanyak 150,000 yen (sekitar RM3,750).
Racco dibangunkan khas untuk memenuhi peraturan ketat K-Car di Jepun dan bukannya diadaptasi daripada model yang dijual di China. Ia hadir dengan panjang 3,395mm, lebar 1,475mm serta ketinggian 1,800mm, menepati spesifikasi yang ditetapkan bagi segmen tersebut.

Kemasukan BYD dijangka memberi saingan baharu kepada pengeluar tempatan seperti Nissan, Honda, Suzuki dan Daihatsu yang selama ini menguasai pasaran K-Car.
Kuasa disalurkan menerusi satu motor elektrik pacuan roda hadapan yang menghasilkan 20kW (27hp) dan 110Nm tork.
Bagi sistem bateri, BYD menawarkan dua pilihan menggunakan teknologi Blade Battery berasaskan litium ferum fosfat (LFP).
Varian asas menggunakan bateri 22.4kWh dengan jarak pemanduan sehingga 210km mengikut piawaian WLTC, manakala varian lebih tinggi menerima bateri 35.84kWh yang mampu bergerak sejauh 320km.
Jarak itu menjadikan Racco sebagai antara EV K-Car pertama di Jepun yang melepasi angka 300km mengikut ujian WLTC.

Selain itu, model berkapasiti bateri lebih besar turut menyokong pengecasan pantas DC sehingga 100kW, sekali gus menawarkan kelebihan berbanding beberapa pesaing tempatan dalam segmen sama.
Ruang kabin juga direka lebih praktikal dengan tempat duduk belakang boleh dilipat rata sepenuhnya, menyediakan ruang kargo sehingga 1,372 liter.
Spesifikasi utama BYD Racco:
- Pengecasan pantas DC sehingga 100 kW
- Ruang kargo maksimum 1,372 liter
- Skrin infotainmen 10.1-inci
- Fungsi Vehicle-to-Load (V2L)
- Kunci digital NFC
- Pemanas bateri
- Tempat duduk hadapan dan stereng dengan fungsi pemanas
- Enam beg udara
- Sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS)
- Tempat duduk pemandu larasan kuasa enam hala
- Ditawarkan dengan enam pilihan warna luaran dan dua tema dalaman
Pelancaran Racco memperlihatkan strategi baharu BYD untuk menembusi segmen kenderaan paling popular di Jepun, yang ketika ini masih dikuasai model seperti Honda N-Box dan Nissan Sakura.
Dengan harga kompetitif, jarak pemanduan lebih jauh serta kelengkapan yang lebih lengkap, Racco dijangka menjadi pencabar baharu dalam pasaran EV mikro negara itu.



