Buletin

UJIAN BERTUKAR TRAGEDI, PROTOTAIP MERCEDES-AMG GT TERBAKAR DI SEPANYOL

Sebuah prototaip Mercedes-AMG GT yang sedang menjalani ujian pembangunan dilaporkan musnah selepas terbakar ketika sesi pemanduan di kawasan pergunungan Sierra Nevada, Sepanyol.

Kenderaan yang menggunakan penyamaran penuh itu dipercayai merupakan versi facelift bagi Mercedes-AMG GT yang sedang dibangunkan sebelum pelancarannya ke pasaran.

Rakaman kejadian menunjukkan kereta berkenaan berhenti di tepi jalan dengan api marak menjulang dari bahagian belakang. Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan membabitkan pemandu atau pasukan ujian.

Menurut laporan, prototaip tersebut terbakar sehingga tidak lagi dapat diselamatkan.

Punca sebenar kebakaran masih belum dikenal pasti dan Mercedes-AMG juga belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden itu.

Memandangkan api tertumpu di bahagian belakang kenderaan, terdapat pelbagai andaian mengenai puncanya.

Antaranya termasuk kemungkinan berlaku kebocoran minyak yang terkena komponen bersuhu tinggi, kerosakan pada sistem transmisi, masalah pada sistem bahan api atau gangguan pada sistem hibrid sekiranya prototaip itu menggunakan rangkaian kuasa elektrifikasi.

Bagaimanapun, semua kemungkinan tersebut masih bersifat spekulasi sehingga siasatan selesai dijalankan.

Walaupun kehilangan sebuah prototaip pastinya memberi kesan kepada program pembangunan model berkenaan, perkara paling penting ialah tiada mangsa yang cedera.

Pengeluar juga masih mampu meneruskan pembangunan dengan menghasilkan prototaip baharu sekiranya diperlukan.

Google ads
Back to top button