Motosikal

PHELON & MOORE PANTHETTE X PESAING BAHARU SEGMEN SKUTER ADV – 23.5HP, 25NM

Segmen skuter adventure di pasaran global dimeriahkan dengan pesaing baharu dari jenama baharu Phelon & Moore. 

Jenama dari UK itu (dengan pusat rekaan di Itali dan kilang pembuatan di China) baru-baru ini telah pun memperkenalkan skuter 300cc serba baharu menerusi Panthette X 300. 

Meskipun reka bentuk keseluruhan adalah seperti skuter bandar namun ciri seperti tayar separa knobby, handguard dan penghadang angin boleh laras sudah cukup menandakan ciri ‘adventure’. 

Atas kertas, Panthette X menawarkan pelbagai ciri moden antaranya meter TFT 7-inci yang boleh disambungkan ke peranti pintar melalui Bluetooth.

Selain itu juga terdapat ciri seperti TPMS, Smart Key (keyless) serta grip pemanas dengan lima tetapan berbeza. Model ini turut menawarkan ciri praktikal seperti slot USB Type-A dan Type-C. 

Dalam pada itu, Panthette X menawarkan kerangka steel tubular yang dipadankan bersama fork USD 41mm di hadapan dan dua penyerap hentak dengan pelarasan pra-beban di belakang. 

Sementara itu, skuter ini juga didatangkan dengan rim 14-inci depan dan 13-inci belakang. Berat keseluruhan jentera adalah 148kg. 

Menggerakan Panthette X adalah enjin 300cc yang berupaya menjana 23.5hp dan 25Nm. Untuk rekod, model ini juga ditawarkan dengan enjin 125cc. 

Google ads
Back to top button