Buletin

CHERY J6T SUPER HYBRID DIPERKENALKAN DI GIIAS 2026, TAWAR JARAK GERAK SEHINGGA 1,400KM

PT Chery Sales Indonesia memperkenalkan model baharu Chery J6T Super Hybrid (CSH) pada pameran Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2026 di ICE BSD, Tangerang.

Model ini menggunakan teknologi Range Extended Electric Vehicle (REEV) yang menggabungkan enjin pembakaran dalaman dengan motor elektrik serta pek bateri.

Konfigurasi itu membolehkan kenderaan dipandu menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya, selain memanfaatkan enjin untuk mengecas bateri dan memanjangkan jarak perjalanan.

Menurut Chery, J6T Super Hybrid mampu menawarkan jarak pemanduan gabungan sehingga 1,400 kilometer apabila tangki bahan api dan bateri berada dalam keadaan penuh.

Dalam mod elektrik sepenuhnya (EV), SUV ini boleh bergerak sehingga 190 kilometer tanpa menggunakan petrol.

Di bahagian kabin, SUV ini menampilkan skrin sentuh infotainmen bersaiz 15.6-inci yang menjadi tumpuan utama papan pemuka.

Turut disediakan ialah fungsi Vehicle-to-Load (V2L) 6.0 kW, membolehkan kenderaan membekalkan kuasa elektrik sehingga 6,000 watt kepada pelbagai peralatan elektronik ketika aktiviti luar.

Dari aspek keupayaan, J6T Super Hybrid direka untuk pemanduan lasak dengan kelegaan bumi 220 milimeter, sesuai untuk laluan tidak rata. Ia juga mempunyai kemampuan meredah air sehingga 650 milimeter, lebih tinggi berbanding varian J6 BEV yang menawarkan kedalaman rendaman air 625 milimeter.

Chery Indonesia telah membuka tempahan awal menerusi laman web rasminya, namun harga rasmi masih belum diumumkan. Pelancaran komersial model itu dijadualkan berlangsung pada suku keempat tahun ini.

Google ads
Back to top button