Artikel Pilihan

GIIAS 2026:TOYOTA VELOZ HYBRID DARI RM 88K

Sebelum Toyota Veloz memasuki pasaran Malaysia pada 2022 sebagai kembar kepada Perodua Alza, ramai yang tertanya-tanya sama ada MPV tujuh tempat duduk ini akan menerima versi hibrid.

Kini, persoalan itu akhirnya terjawab apabila Toyota Veloz Hybrid dipamerkan kepada umum di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2026, kira-kira enam bulan selepas pelancaran rasminya di Gaikindo Jakarta Auto Week.

Model ini turut mencuri perhatian kerana menjadi model hibrid Toyota paling mampu milik di Indonesia, sekali gus menyertai keluarga elektrifikasi Toyota bersama Innova Zenix Hybrid dan Yaris Cross Hybrid.

Kehadirannya juga memberi bayangan bahawa teknologi sama berpotensi digunakan pada model-model lain yang dibangunkan di atas platform DNGA, termasuk Perodua Alza pada masa hadapan, walaupun setakat ini belum ada sebarang pengesahan rasmi daripada UMW Toyota Motor mahupun Perodua.

Dari segi mekanikal, Veloz Hybrid menggunakan sistem hibrid yang sama seperti Toyota Vios Hybrid dan Toyota Yaris Cross Hybrid. Ia dipadankan dengan enjin petrol 1.5 liter empat silinder 2NR-VEX yang menghasilkan 91 PSdan 121 Nm, digabungkan dengan motor elektrik berkuasa 80 PS serta 141 Nm.

Kuasa sistem keseluruhan ialah 111 PS, disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi e-CVT, manakala tenaga elektrik disimpan dalam bateri lithium-ion berkapasiti 0.7 kWh. Toyota memberikan bacaan rasmi penggunaan bahan api mencecah 27.8 km/l, menjadikannya antara MPV tujuh tempat duduk paling menjimatkan bahan api dalam kelasnya.

Angka tersebut juga hampir menyamai kecekapan yang ditawarkan oleh Vios Hybrid dan Yaris Cross Hybrid yang menggunakan sistem pacuan sama. Dari segi rekaan luaran, perubahan yang dibuat tidak terlalu ketara kerana Toyota masih mengekalkan identiti asal Veloz.

Namun, versi Hybrid menerima gril hadapan baharu, logo Toyota dengan kemasan biru, lencana HEV pada badan serta rekaan rim aloi baharu bagi membezakannya daripada model petrol biasa.

Untuk ruang kabin, susun atur keseluruhan masih dikekalkan, namun paparan meter digital kini memaparkan grafik khas sistem hibrid termasuk paparan aliran tenaga. Pemandu turut diberikan butang EV Mode yang membolehkan kenderaan bergerak menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya pada kelajuan rendah dan dalam keadaan tertentu.

Dari aspek keselamatan pula, varian tertinggi dilengkapi pakej Toyota Safety Sense (TSS) yang merangkumi pelbagai sistem bantuan pemandu seperti Pre-Collision System (PCS), Lane Departure Alert (LDA), Adaptive Cruise Control (ACC), Automatic High Beam (AHB), Blind Spot Monitor (BSM) serta Rear Cross Traffic Alert (RCTA).

Di Indonesia, Toyota Veloz Hybrid ditawarkan pada harga bermula sekitar Rp303 juta (kira-kira RM69,000) sehingga Rp385 juta (sekitar RM88,000) bergantung kepada varian. Harga tersebut menjadikannya antara MPV hibrid paling mampu milik di rantau ASEAN.

Bagi pasaran Malaysia pula, kemunculan Veloz Hybrid ini pasti akan menghidupkan semula spekulasi mengenai Perodua Alza Hybrid. Ini kerana kedua-dua model dibangunkan menggunakan platform DNGA dan berkongsi banyak komponen asas.

Sekiranya teknologi hibrid ini berjaya mendapat sambutan di Indonesia, tidak mustahil ia akan membuka laluan kepada versi elektrifikasi Alza pada masa akan datang. Namun, buat masa ini, tiada sebarang pengumuman rasmi mengenainya.

Google ads
Back to top button