
SLOT TETAP F1 DI SEPANG PERLUKAN SEKURANG-KURANGNYA RM300 JUTA SETAHUN
Hasrat peminat sukan permotoran tempatan untuk menyaksikan Formula Satu (F1) kembali secara tetap ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kembali hangat selepas litar itu dipilih sebagai tuan rumah Gulf Air Bahrain Grand Prix pada 2 hingga 4 Oktober ini.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, terdapat dua syarat utama yang perlu dipenuhi sebelum Malaysia boleh mengembalikan perlumbaan F1 ke Sepang secara kekal.
Menurut beliau, perkara paling penting ialah kemampuan negara untuk membayar yuran hak penganjuran kepada Formula One Management (FOM), selain memastikan terdapat kekosongan dalam kalendar perlumbaan F1 yang kini semakin padat.
Katanya, berdasarkan rundingan bersama pihak F1, kos hak penganjuran bagi setiap edisi dianggarkan antara AS$70 juta hingga AS$80 juta (sekitar RM280 juta hingga RM327 juta).
Beliau menjelaskan, perlumbaan di rantau Asia lazimnya memerlukan kos lebih tinggi berbanding di Eropah kerana semua jentera, peralatan dan kakitangan perlu diterbangkan ke lokasi perlumbaan.
“Secara keseluruhan, saya menganggarkan kos menganjurkan F1 di Sepang mencecah sekurang-kurangnya RM300 juta setahun, termasuk perbelanjaan operasi lain.
“Namun, pulangan ekonomi yang dijana berpotensi mencapai sehingga tiga kali ganda daripada kos tersebut melalui sektor pelancongan, hospitaliti, pengangkutan dan aktiviti ekonomi berkaitan,” katanya.
Beliau berkata, cadangan itu boleh dipertimbangkan pada masa hadapan, namun ketika ini kerajaan lebih mengutamakan usaha membantu rakyat berdepan cabaran ekonomi serta peningkatan kos sara hidup berbanding membelanjakan dana untuk acara sukan antarabangsa.
Litar Sepang, yang dibina atas ilham bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, menjadi venue F1 dari tahun 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu dihentikan susulan penurunan sambutan penonton. Sejak diambil alih Liberty Media, populariti F1 kembali meningkat di seluruh dunia.
Azhan sebelum ini turut menyifatkan keputusan menghentikan penganjuran F1 di Sepang sebagai satu kerugian kerana mendapatkan semula tempat dalam kalendar perlumbaan dunia bukanlah sesuatu yang mudah.
Buat masa ini, katanya, keutamaan SIC adalah memastikan penganjuran Gulf Air Bahrain Grand Prix di Sepang berjalan lancar bagi pihak Bahrain.
Beliau berkata, pengalaman serta data yang diperoleh daripada penganjuran perlumbaan itu boleh dijadikan rujukan untuk menilai kemungkinan membawa semula F1 ke Malaysia secara tetap pada masa hadapan.
Untuk perlumbaan Bahrain GP tahun ini, yuran hak penganjuran ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Bahrain, manakala Malaysia dan Bahrain akan berkongsi kos operasi lain yang dianggarkan sekitar RM40 juta. – NewStraitsTimes
- BACA: JPJ SIASAT WARGA TEMPATAN MILIKI BANYAK KENDERAAN, SEWA KEPADA WARGA ASING
- BACA: BYD RACCO RASMI DILANCARKAN DI JEPUN – HARGA MULA RM53K
- BACA: UJIAN BERTUKAR TRAGEDI, PROTOTAIP MERCEDES-AMG GT TERBAKAR DI SEPANYOL
- BACA: CHERY J6T SUPER HYBRID DIPERKENALKAN DI GIIAS 2026, TAWAR JARAK GERAK SEHINGGA 1,400KM







