
BYD SEALION 7 2026 DILANCARKAN – HADIR DENGAN VARIAN DYNAMIC, HARGA MULA RM163K
BYD Sime Motors hari ini melancarkan barisan baharu BYD SEALION 7 2026 di Malaysia yang kini hadir dalam tiga pilihan varian iaitu Dynamic, Premium dan Performance.
Selain memperkenalkan varian Dynamic sebagai model baharu yang lebih mampu dimiliki, versi Premium dan Performance turut menerima beberapa penambahbaikan dari segi kapasiti bateri, jarak pemanduan serta kelajuan pengecasan.
Pengenalan varian Dynamic dilihat bertujuan memperluaskan pilihan kepada pembeli yang mahukan SUV elektrik segmen-D dengan teknologi moden pada harga yang lebih kompetitif, manakala dua varian di atasnya kini menawarkan keupayaan perjalanan lebih jauh dan pengalaman pemilikan yang lebih praktikal.
Semua varian masih menggunakan teknologi Blade Battery, dibina di atas platform e-Platform 3.0 serta dilengkapi pelbagai ciri keselamatan, sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) dan fungsi sambungan pintar.

Varian Dynamic:
SEALION 7 Dynamic dipacu motor elektrik pacuan roda belakang yang menghasilkan 170kW dan 380Nm. Ia dipadankan dengan pek bateri Blade Battery berkapasiti 71.8kWh, menawarkan jarak pemanduan sehingga 520km mengikut kitaran NEDC.
Model ini menyokong pengecasan pantas DC sehingga 110kW dan mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa 7.3 saat.
Premium:
Varian Premium menerima peningkatan terbesar dengan penggunaan bateri Blade Battery baharu berkapasiti 91.39kWh, meningkat daripada 82.56kWh sebelum ini.
Hasilnya, jarak pemanduan meningkat daripada 567km kepada 650km (NEDC), manakala kuasa pengecasan pantas DC turut dinaik taraf daripada 150kW kepada 230kW bagi mengurangkan masa pengecasan ketika perjalanan jauh.
Motor elektriknya masih menghasilkan 230kW dan 380Nm, membolehkan pecutan 0-100km/j dicapai dalam 6.9 saat.

Performance:
Bagi mereka yang mahukan prestasi maksimum, SEALION 7 Performance masih menggunakan sistem pacuan semua roda (AWD) dengan kuasa 390kW dan tork 690Nm.
Varian ini turut menggunakan bateri 91.39kWh dengan jarak pemanduan sehingga 600km (NEDC), selain menyokong pengecasan pantas DC sehingga 230kW.
Prestasinya membolehkan pecutan 0-100 km/j diselesaikan dalam hanya 4.5 saat, selain dipadankan dengan rim 20-inci serta angkup brek merah bagi menyerlahkan karakter sporty.
Bagi model tahun 2026, BYD turut memperkenalkan warna luaran baharu Ultraviolet yang ditawarkan khusus untuk varian Premium.

Kesemua varian kini didatangkan standard dengan kemasan dalaman berwarna hitam, selain mengekalkan skrin infotainmen berputar bersaiz 15.6-inci, panel instrumen digital, sembilan beg udara, suspensi hadapan double wishbone serta suspensi belakang multi-link.
Ruang simpanan belakang pula berkapasiti sehingga 520 liter, manakala ruang simpanan hadapan (frunk) menawarkan kapasiti 58 liter.
Beralih pada harga, harga rasmi bagi ketiga-tiga varian adalah seperti berikut:
- Dynamic: RM163,800
- Premium: RM188,800
- Performance: RM203,800
Setiap pembelian BYD SEALION 7 2026 disertakan pakej waranti yang merangkumi waranti kenderaan selama enam tahun atau 150,000km, waranti bateri voltan tinggi selama lapan tahun atau 160,000km serta waranti unit pacuan selama lapan tahun atau 160,000km.
Pelanggan turut menerima kabel pengecas Type 2 (3-pin) dan penyesuai Vehicle-to-Load (V2L) sebagai aksesori standard.
Sempena pelancarannya, pelanggan yang membuat tempahan di acara BEYOND YOUR DRIVE Roadshow di 1 Utama dari 30 Julai hingga 2 Ogos 2026 akan menerima kredit pengecasan bernilai RM200 sebagai ganjaran tempahan.
GALERI:


















