BuletinMotosikal

JOHANN ZARCO KEMBALI KE PANGKUAN YAMAHA SEBAGAI PELUMBA UJIAN TAHUN DEPAN

Setelah bercerai talak lapan dengan pasukan KTM, nampaknya rezeki Johann Zarco tidak putus. Beliau dikatakan mendapat tawaran daripada pasukan Yamaha sebagai pelumba ujian di Eropah.

Dalam satu temubual eksklusif bersama Simon Crafar dari Pit-Lane semasa sesi MotoGP lepas, Boss Yamaha, Lin Jarvis mengesahkan bahawa Yamaha telah membuat pelawaan kepada Johann Zarco untuk menjadi sebahagian daripada pasukan ujian mereka di Eropah.

Pelumba Perancis itu membuat keputusan menamatkan karier bersama Red Bull KTM Factory Racing lebih awal dan juara Moto2 itu mempunyai pilihan untuk kembali ke Yamaha yang kini diketuai oleh bekas rakan  Tech 3 Yamaha, Jonas Folger.

“Kami memulakan pasukan ujian kami pada tahun lepas, kami agak terlambat. Kami mungkin yang terakhir di kalangan pengeluar yang mendapatkan pasukan ujian Eropah.

“Tetapi pada tahun hadapan, kami mahu menaiktaraf di mana akan ada lebih banyak kerjasama antara Jepun dan Eropah supaya kami dapat mempunyai pasukan uji terbaik, “kata Jarvis sewaktu MotoGP Thailand di litar Buriram minggu lepas.

Pengarah Urusan Yamaha itu telah menyaksikan satu kemenangan pada 2019 oleh Maverick ViƱales (Monster Energy Yamaha MotoGP) di Circuit Assen pada bulan Jun.

Pasukan Yamaha yang berpusat di Eropah nampaknya lebih agresif dalam pembangunan motosikal dan juga pelumba. Terbaru, ketua krew Valentino Rossi (Monster Energy Yamaha MotoGP), Silvano Galbusera, akan meninggalkan pasukannya dan berpindah ke pasukan ujian Eropah.

Rossi juga didakwa mahu melancarkan kempen 2020 dengan struktur pasukan baru.

“Kami pernah bekerja rapat dengan Johann Zarco, namun di pertengahan kareiernya semua berubah apabila Tech 3 “berpisah” dengan Yamaha dan beralih pada KTM.

“Dengan posisi dan pengalaman yang ada pada Zarco, kami bercadang untuk melantiknya sebagai sebahagian dari pasukan ujian tersebut.

“Kami sedang berbincang dengannya dan kami telah membuat tawaran kepadanya, dan saya fikir bahawa menjelang akhir musim, kami akan tahu sama ada beliau akan sertai kami atau tidak.”

Google ads
Back to top button