Buletin

BARU 4 HARI MELARAM, KERETA KLON BMW 320i MILIK PENIAGA KOSMETIK DISITA

Sebuah kereta mewah BMW 320i yang baru empat hari dibeli oleh seorang peniaga kosmetik dirampas kerana ia didapati kereta klon. 

Peniaga berusia 43 tahun itu bagaimanapun mendakwa dia tidak tahu menahu tentang kondisi keretanya kerana dibeli menerusi orang tengah di Kuala Lumpur pada harga lebih rendah berbanding pasaran. 

Penolong Pengarah Jabatan Pengakutan Jalan (JPJ) Perlis, Shahrul Azhar Md Dali memberitahu kenderaan tersebut ditahan dan disita dalam satu sekatan jalan raya yang diadakan bersama Jabatan Kastam Perlis. 

BMW 320i itu ditahan di kilometer 26 berdekatan sempadan Kedah-Perlis kira-kira jam 11 malam.

Sedia maklum bahawa kereta klon biasanya menggunakan nombor pendaftaran sama dengan kereta yang diklon. Namun kini, sindiket dikatakan telah menukar taktik mereka dengan menggunakan nombor pendaftaran motosikal murah. 

“Kali ini, kereta ini guna nombor plat motosikal. Dia (sindiket) tak berapa nak smart lah,” kata Shahrul sambil disambut ketawa oleh sekumpulan media yang hadir. 

Peniaga itu kemudian dibebaskan dengan jaminan. Sementara kereta tersebut disita di bawah Seksyen 135 (1) (D) Akta Kastam 1967. 

sumber: Astro Awani

Google ads
Back to top button