Buletin

BRIDGESTONE TAJA TAYAR ECOPIA DENGAN OLOGIC KEPADA ECO PHOTON SOLAR RACING TEAM UITM

Acara perlumbaan kereta solar paling dikenali di dunia, Bridgestone World Solar Challenge, bakal mengumpul pasukan terbaik di peringkat global untuk mencabar standard kenderaan elektrik.

Bridgestone Tyre Malaysia menunjukkan sokongan mereka dengan menaja pasukan Eco Photon Solar Racing Team dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang akan mewakili negara buat kali ketiga.

Bridgestone akan menaja tayar ECOPIA dengan ologic sepanjang acara itu berlangsung.

“Kami berbangga kerana dapat menyokong Eco Photon Solar Racing Team dari UiTM ke acara ini. Tayar “ECOPIA with ologic” direka bersama teknologi penjimatan bahan api Bridgestone yang dibina khas untuk kereta solar.

“Tayar ini mempunyai diameter lebih lebar yang menghalang berlakunya perubahan bentuk pada titik sentuhan bagi merendahkan aspek halangan gulingan. Sekali gus menambah baik penjimatan bahan api,” kata Pengarah Urusan Bridgestone Tyre Malaysia, Michael Chung.    

Eco Photon Solar Racing Team bakal mengharung perjalanan sejauh 3,000km dari Darwin ke Adelaide pada 13 hingga 20 Oktober 2019 dengan kereta solar mereka, Tigris.

Tigris yang diperbuat daripada gentian karbon itu dilengkapi sistem pemantauan binaan sendiri yang telah dinaik taraf. Sistem keselamatan pula memastikan kereta solar tersebut tidak mengalami sebarang masalah putus bekalan elektrik ketika bersaing dalam kategori Challenger.

Berpaksikan kepada nilai utama tanggungjawab korporat sosial Bridgestone iaitu Our Way to Serve: mobility, people and environment, acara Bridgestone World Solar Challenge jelas berpegang kepada falsafah itu dengan menyumbang kepada pembangunan kereta solar.

Google ads
Back to top button