
JPJ LAWAT GGR MOTOR. LION G1 KINI BOLEH DIDAFTAR SECARA RASMI
GGR Motor terus mengorak langkah dalam merealisasikan impian menjadi pengeluar motosikal elektrik (EV) pertama tempatan apabila menerima lawatan kerja rasmi daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan ke kilang pemasangan mereka di Kampung Sungai Penchala, baru-baru ini.
Seramai 25 pegawai JPJ hadir dalam sesi lawatan tersebut yang diketuai oleh Timbalan Pengarah JPJ WP, Eric Jusiang. Kunjungan ini bertujuan memberikan pendedahan secara lebih dekat mengenai proses pemasangan motosikal EV tempatan serta memastikan pematuhan terhadap piawaian dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Menurut Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussaddiq Mohamed Azmi, kerjasama ini amat penting bagi memastikan industri EV motosikal di Malaysia berkembang dengan teratur dan menepati garis panduan pihak berkuasa.

Delegasi JPJ diberi taklimat berkenaan operasi pengeluaran, selain dibawa meninjau proses pemasangan motosikal EV Lion G1 secara langsung. Mereka juga melawat bangunan jualan aksesori, bengkel servis dan bahagian operasi lain yang melengkapkan ekosistem EV GGR Motor.
Turut hadir menyambut rombongan ialah Pengerusi GGR Motor, Tengku Syarif Temenggong Perlis, Datuk Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail.
Lion G1 Sudah Boleh Didaftar di JPJ
Dalam perkembangan terkini, Mussaddiq mengesahkan bahawa motosikal EV Lion G1 kini boleh didaftarkan secara rasmi melalui sistem JPJ bermula 1 September 2025.
“Kami jangka penghantaran unit kepada pelanggan akan bermula dalam masa terdekat. Setakat ini, lebih 6,000 tempahan telah diterima dan sambutan ini membuktikan keyakinan pengguna terhadap motosikal elektrik buatan tempatan,” katanya.
Lion G1 merupakan model sulung GGR Motor yang direka khusus untuk pasaran Malaysia, dengan fokus kepada kos mampu milik serta mesra alam. Menariknya, model ini mencatat lebih 2,500 tempahan hanya dalam tempoh seminggu selepas pelancaran pada Julai lalu.

Sasar 30,000 Unit & Kilang Baharu di Utara Semenanjung
Bagi memenuhi permintaan yang tinggi, GGR Motor menyasarkan pengeluaran sehingga 30,000 unit menjelang akhir 2025. Untuk menyokong kapasiti tersebut, sebuah kilang pemasangan baharu akan dibangunkan di utara Semenanjung, di atas tapak seluas lebih satu ekar.
“Kilang baharu ini bakal menjadi hab pengeluaran utama untuk Lion G1 dan beberapa model baharu yang dirancang. Ia juga dijangka mencipta lebih 50 peluang pekerjaan baharu dalam bidang teknologi hijau dan automotif elektrik,” jelas Mussaddiq.
Selain itu, GGR Motor turut memeterai kerjasama strategik bersama PMH Motor, Bateriku.com, MARA dan Petronas Lubricants Marketing Malaysia (PLMM), merangkumi latihan teknikal, penyelenggaraan dan rantaian bekalan, sekali gus memperkukuh kedudukan syarikat dalam industri EV tempatan.

Malaysia Menuju Hab EV ASEAN
Langkah GGR Motor ini selari dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran kenderaan elektrik di rantau ASEAN, menerusi sokongan dasar mesra EV dan pelbagai insentif.
“Pelancaran kilang baharu, sokongan JPJ serta sambutan luar biasa terhadap Lion G1 membuktikan industri EV tempatan semakin matang. Kami yakin motosikal elektrik buatan Malaysia mampu bersaing dari segi kualiti dan harga,” tambah Mussaddiq.





