
MAYAT LELAKI 51 TAHUN DITEMUI DALAM MYVI
Bau busuk dari sebuah kereta Perodua Myvi yang diletakkan di stesen minyak di Bandar Perdana, Sungai Petani, Kedah semalam membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki berusia 51 tahun.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, penemuan itu dilakukan orang awam sekitar jam 3 petang sebelum laporan dibuat kepada pihak polis.
“Bilik Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada jam 3.15 petang,” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kereta tersebut diletakkan sejak jam 3 pagi Rabu lalu. Lelaki berkenaan ditemui tidak bergerak di dalam kereta dan sudah berbau.
“Siasatan awal tidak menemui sebarang kesan jenayah. Berdasarkan rekod, lelaki itu berasal dari Bukit Choras, Pendang dan dipercayai mempunyai masalah kesihatan,” jelasnya.
Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk proses bedah siasat dan tindakan lanjut. – Berita Harian


