Buletin

JUALAN HAMBAR, AUDI E5 SPORTBACK TURUN HARGA SAMPAI BAWAH RM140K

Langkah berani memperkenalkan jenama baharu tanpa logo empat cincin nampaknya belum menjadi tuah buat Audi di China.

Model sulung di bawah kerjasama SAIC itu, E5 Sportback, kini berdepan realiti pahit apabila harga terpaksa dipotong selepas jualan yang jauh daripada sasaran.

Dilancarkan pada Ogos 2025 dengan julat harga antara ¥235,900 hingga ¥319,900 (RM155,000 hingga RM305,000), E5 Sportback pada awalnya dilihat sebagai percubaan segar untuk menawan hati pembeli China yang semakin cenderung kepada jenama tempatan.

Reka bentuk baharu, identiti tanpa lencana ikonik dan strategi penjenamaan berbeza — semuanya tampak seperti “reset” strategik.

Namun angka jualan menceritakan kisah lain. Sejak pelancaran, hanya 7,070 unit berjaya dihantar kepada pelanggan, dengan Januari mencatatkan sekitar 420 unit sahaja.

Susulan itu, potongan harga sementara sebanyak ¥30,000 (RM20,000) diumumkan, menjadikan harga asas turun kepada ¥205,900 (RM135,000).

Insentif yang ditawarkan bukan kecil:

  • Pampasan cukai pembelian ¥10,000 (RM6,700)
  • Diskaun tunai ¥10,000 (RM6,700)
  • Subsidi tukar beli ¥10,000 (RM6,700)

Malah pakej pembiayaan turut dipermanis dengan pelan lima tahun faedah sifar, atau pilihan tujuh tahun kadar faedah rendah bagi yang hanya mengambil insentif cukai.

Dari segi harga, E5 kini bertembung terus dengan Zeekr 007 GT dan sedikit lebih murah berbanding Xiaomi SU7 – model yang mencatatkan lebih 250,000 pembelian tahun lalu. Persaingan dalam segmen sedan elektrik China memang sengit, dengan lambakan model berprestasi tinggi pada harga agresif.

Hakikatnya, spesifikasi E5 bukan calang-calang. Jarak roda 2,950mm, kuasa maksimum sehingga 776hp, serta jarak pemanduan sehingga 773km (CLTC) bergantung varian.

Semua model turut dilengkapi LiDAR, tiga radar, 11 kamera dan 12 sensor ultrasonik. Ruang kabin pula dikuasai skrin 59-inci dari tiang ke tiang – jelas menepati selera teknologi pengguna China.

Menariknya, September lalu Audi mendakwa menerima 10,000 tempahan dalam masa 30 minit sahaja, malah model ini turut dinobatkan sebagai “China Car of the Year”.

Namun pengiktirafan dan angka pra-tempahan nampaknya belum cukup untuk menjamin momentum jualan berterusan.

Fenomena ini bukan terpencil. BMW dan Mercedes-Benz juga dilaporkan terpaksa menurunkan harga sehingga 10 peratus bagi mengekalkan daya saing.

Pasaran China kini begitu agresif sehingga kurang daripada satu pertiga pengedar dilaporkan mencatat keuntungan tahun lalu.

Jika promosi ini benar-benar tamat pada 31 Mac seperti dirancang, persoalannya — adakah jualan akan pulih? Atau adakah potongan harga ini sekadar permulaan kepada penyesuaian strategi yang lebih besar?

Google ads
Back to top button