
TOYOTA LAND CRUISER FJ 2026 DILANCARKAN DI THAILAND TAK LAMA LAGI
Toyota dijangka melancarkan Land Cruiser FJ di Thailand pada penghujung Mac 2026, sekali gus memberi bayangan bahawa model SUV kompak berkarakter lasak itu semakin hampir untuk memasuki pasaran Asia Tenggara.
Walaupun bersaiz lebih kecil, Land Cruiser FJ tampil dengan imej yang mengingatkan kepada Toyota Land Cruiser Prado, digabungkan dengan sentuhan utiliti.
Reka bentuknya kekal beridentiti klasik dan tegap, namun dibungkus dalam dimensi yang lebih mesra pemanduan bandar.

Di bawah bonet, SUV ini menggunakan enjin petrol 2.7 liter 2TR-FE yang menghasilkan 161 kuasa kuda dan 246Nm tork. Kuasa disalurkan ke roda menerusi transmisi automatik enam kelajuan Super ECT. Setakat ini, tiada pilihan enjin diesel diumumkan untuk model ini.
Dari segi ukuran, Land Cruiser FJ memiliki panjang 4,575mm, lebar 1,855mm dan tinggi 1,960mm. Walaupun praktikal untuk kegunaan harian, rekaan overfender gerbang tayar yang menonjol jelas membayangkan potensi off-road yang serius.
Sistem pacuan empat roda ditawarkan, dengan pemilihan mod dibuat melalui tombol khas di konsol tengah.


Meninjau ruang kabin, susun atur dan gaya dalaman mengingatkan kepada Prado, dengan kombinasi material kulit hitam dan kemasan plastik tahan lasak.
Pendekatannya lebih fungsional berbanding mewah, termasuk penggunaan brek tangan manual. Namun, kelengkapannya tidaklah asas, sistem infotainmen menyokong Apple CarPlay, stereng dilengkapi butang kawalan pelbagai fungsi, dan ciri keselamatan aktif Toyota Safety Sense turut tersedia.
Harga rasmi masih belum diumumkan. Namun dengan pelancaran yang dijadualkan sekitar Mac 2026, maklumat lanjut termasuk tanda harga dijangka akan didedahkan dalam masa terdekat.








