Buletin

MINI 1965 VICTORY EDITION DIPERKENALKAN – HARGA SEKITAR RM220K

Mini sekali lagi membuktikan bahawa edisi ulang tahun tidak semestinya perlu menunggu angka genap.

Sempena memperingati kemenangan bersejarah di Monte Carlo Rally, jenama ikonik Britain itu memperkenalkan 1965 Victory Edition – walaupun ulang tahun ke-61 kedengaran agak luar biasa untuk diraikan.

Model ini diasaskan daripada varian Cooper, tampil dengan warna luaran Chili Red yang cukup garang, digandingkan dengan jalur putih penuh merentasi badan serta grafik nombor “52” pada kedua-dua sisi.

Bumbung pula hadir sama ada dalam kemasan kaca panoramik atau gaya “Glazed”, manakala pelekat “1965” diletakkan kemas pada tiang-C sebagai sentuhan nostalgia. Rim aloi 18-inci ditawarkan dalam pilihan hitam penuh atau dua tona.

Masuk ke ruang kabin, aura klasik diteruskan menerusi plat ambang pintu khas, stereng sport dengan lencana “1965”, serta kemasan dua tona bersama grafik “52”.

Turut disertakan ialah kotak simpanan eksklusif di konsol tengah. Satu lagi elemen menarik ialah pelekat tersembunyi pada pintu yang memperingati kemenangan Timo Mäkinen yang memandu Mini Cooper S dalam perlumbaan tersebut.

Dari sudut prestasi, pembeli mempunyai tiga pilihan rangkaian kuasa. Cooper S 1965 Victory Edition dikuasakan enjin 2.0 liter turbo empat silinder yang menjana 201hp dan 300Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam 6.6 saat.

Bagi yang mahukan lebih kuasa, varian JCW tampil dengan talaan enjin 2.0 liter turbo yang dipertingkatkan kepada 228hp dan 380Nm, sekali gus memendekkan masa 0-100 km/j kepada 6.1 saat.

Tidak cukup dengan itu, versi Mini John Cooper Works Electric pula lebih pantas dengan 0-100 km/j dalam 5.9 saat. Ia menggunakan motor elektrik berkuasa 255hp bersama bateri 49.2kWh, menawarkan jarak pemanduan sekitar 364 hingga 402km (kitaran UK).

Edisi khas ini dijadualkan dilancarkan lewat tahun ini di beberapa pasaran terpilih. Di Amerika Syarikat, hanya varian JCW akan ditawarkan dengan harga bermula sekitar AS$46,220 (kira-kira RM220,000) tidak termasuk caj penghantaran AS$1,175 (sekitar RM5,600).

GALERI:

Google ads
Back to top button