Buletin

KAKAK MENGAMUK DAN LUDAH ANGGOTA MBSA DIKENAL PASTI, AKAN DITAHAN POLIS

Ingat lagi video yang kami kongsikan pasal seorang kakak mengamuk kerana keretanya dikompaun dan hendak ditunda?

Dalam klip video tersebut, dia yang memakai baju kurung dan bertudung merah kelihatan memaki hamun, meludah dan menolak anggota Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) serta orang awam yang berada di lokasi kejadian.

Aksinya yang menjerit-jerit, melompat dan kemudian melontar kon nyata mendapat pelbagai komen daripada netizen. Ada ketika, dia juga bertindak kasar dengan menarik topi yang dipakai oleh salah seorang pegawai itu sebelum menendangnya.

Kini, identiti wanita itu dilaporkan sudah dikenal pasti oleh polis. Ini selepas pihak polis menerima laporan oleh pembantu penguat kuasa berhubung insiden tersebut.

Menurut Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar, kejadian itu berlaku pada jam 12.12 tengah hari. Dua orang anggota MBSA sedang membuat membuat rondaan di sepanjang Jalan 1A/3, Fasa 1, Bandar Baru Sungai Buloh.

Mereka mendapati ada sebuah kereta Nissan Almera diletakkan berhampiran pembahagi jalan sebelum mengenakan kompaun. Bagaimanapun, rondaan yang dibuat selepas itu mendapati kenderaan berkenaan masih berada di situ dan tidak dialihkan. Jadi mereka mengambil tindakan untuk menundanya.

“Ketika hendak menunda, seorang wanita yang dipercayai pemilik kereta itu datang ke arah anggota. Dia kemudian bertindak agresif dengan memaki hamun, menolak dan meludahnya,” kata Shafa’aton.

Orang awam yang cuba mententeramkan wanita itu juga diludah dan dikasari. Wanita itu juga didakwa mengugut penguat kuasa akan menjadi lebih agresif jika kereatanya tidak dilepaskan.

Justeru, anggota itu terpaksa  melepaskan kenderaan tersebut dan membuat laporan.

“Identiti wanita itu sudah dikenal pasti dan tangkapan akan dibuat untuk siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya lagi. – Harian Metro

Google ads
Back to top button