Buletin

HARGA MINYAK RON95 TURUN BERMULA ESOK!

Hari ini, Kementerian Kewangan ingin mengumumkan penurunan harga runcit RON95 dan diesel di bawah had harga runcit yang telah ditetapkan sebanyak RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter masing-masing.

Kerajaan Persekutuan komited dengan dasar penstabilan harga runcit produk petroleum selaras dengan janji Manifesto Pakatan Harapan dan telahpun melaksanakan penetapan harga runcit secara mingguan dengan had harga tidak melebihi RM2.08 seliter untuk RON95 dan RM2.18 seliter untuk diesel.

Ini akan membolehkan para pengguna menikmati sebarang perubahan harga dengan lebih cepat selaras dengan penurunan harga runcit produk petroleum di pasaran dunia dan sebaliknya dilindungi daripada sebarang kenaikan harga yang melebihi RM2.08 seliter untuk RON95 dan RM2.18 seliter bagi diesel.

Subsidi produk petroleum dan Liquified Petroleum Gas (LPG) yang dibiayai oleh Kerajaan adalah sebanyak RM6 bilion untuk tahun 2019.

Berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit produk petroleum bagi tempoh 8 Februari 2020 sehingga 14 Februari 2020 adalah ditetapkan seperti berikut:

  1. harga runcit petrol RON97 turun sebanyak 7 sen seliter iaitu daripada RM2.41 seliter kepada RM2.34 seliter;
  2. harga runcit petrol RON95 turun sebanyak 4 sen seliter iaitu daripada RM2.08 seliter kepada RM2.04 seliter;dan
  3. harga runcit diesel turun sebanyak 10 sen seliter iaitu daripada RM2.18 seliter kepada RM2.08 seliter.

Penurunan harga runcit ini adalah disebabkan penurunan harga minyak global. Harga RON95 sebanyak RM2.04 seliter dan diesel sebanyak RM2.08 seliter ini menunjukkan penurunan yang besar dari minggu lepas (1 Februari 2020 sehingga 7 Februari 2020) bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada paras RM2.11 seliter (tetapi disekat pada had harga runcit RM2.08 seliter) dan diesel yang berada pada paras RM2.18 seliter masing-masing.

Dasar penstabilan harga runcit ini memanfaatkan rakyat, di mana apabila harga petroleum di pasaran dunia turun, harga runcit produk petroleum juga akan diturunkan bagi membolehkan pengguna memperolehi manfaat penurunan harga minyak dengan segera.

Namun apabila harga pasaran dunia naik, demi melindungi pengguna daripada mengalami impak kenaikan harga, harga runcit produk petroleum akan dikekalkan pada paras tidak melebihi RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter bagi petrol RON95 dan diesel melalui pemberian subsidi.

Google ads
Back to top button