,
Buletin

“KEMBAR SUV PERODUA”, TOYOTA RAIZE DILANCARKAN DI JEPUN

Hujung bulan lalu kami berada di Jepun untuk membuat liputan Tokyo Motorshow dan salah satu “bintang” yang mendapat perhatian media dari Malaysia ialah model ini – sebuah SUV yang tiada nama ketika dipamerkan pada hari pembukaan pameran automotif tersebut.

Ia diletakkan di petak Daihatsu, subsidiari syarikat Toyota dan bukannya di petak pameran Toyota.

Semalam, Toyota mengumumkan namanya. Jika Daihatsu mendapat nama Rocky, versi Toyota dikenali sebagai Raize.

Kenapa ia dapat perhatian?

Kerana cakap-cakap industri merujuknya sebagai SUV Perodua akan datang. Orang Perodua sendiri tidak menafi atau mengakuinya, namun berdasarkan susur garis model yang ada dalam barisan jualan Perodua, hanya inilah satu-satunya SUV yang paling sesuai untuk dijadikan versi Perodua selepas model Aruz.

Ada apa dengan Raize?

Crossover kecil ini dibina di atas platform Daihatsu New Global Architechture (DNGA). Ia lebih kecil dari C-HR dengan ukuran 3,995mm panjang, 1,695mm lebar dan 1,620mm tinggi.

Walaupun lebih kecil, ia menawarkan kapasiti bagasi dan bahagian dalaman yang luas. Ruang bagasinya menampung 369 liter malah ruang kelegaan kepala, kaki dan bahu juga agak bagus untuk sebuah SUV kelas A begini.Toyota memberitahu platform baru ini menghasilkan badan yang ringan dan suspensi yang lebih tegar lantas menghasilkan “outstanding handling stability and ride comfort.”

Kuasa diperolehi dari unit enjin baru tiga selinder 1.0 liter dengan pengecas turbo. Ia digandingkan dengan transmisi D-CVT (Dual mode Continuously Variable Transmission) menjadikan ia kereta Toyota pertama yang menggunakan kotak gear Daihatsu yang menggunakan talisawat dan gerigi gear serentak pada kelajuan tinggi untuk ekonomikal bahanapi lebih baik.

Enjin ini menghasilkan 97 kuasa kuda pada 6,000 rpm dan 140 Nm tork pada 2,400rpm.

Purata penggunaan bahanapi ialah 18.6 km/l dalam ujian WLTC untuk model pacuan dua roda. Bagi versi 4WD pula, purata penggunaan bahanapi ialah 17.4 km/l. Sistem 4WD Raize dikenali sebagai Dynamic Torque Control 4WD.

Spesifikasi pertengahan dan tinggi Raize didatangkan dengan skrin 9 inci di bahagian konsol tengah. Ia turut didatangkan dengan fungsi Apple CarPlay dan SmartDeviceLink

Ditawarkan dalam tiga gred, harga jualannya bermula 1,679,000 yen atau RM63,710.

Taklah murah mana “Kembara” ni kan?

GALERI

Google ads
Back to top button