Modifikasi

MITSUBISHI LANCER EVOLUTION MR!

Kalau ikut aturan, Evo VIII MR Edition dihasilkan sebagai sebuah jentera berprestasi keluaran kilang, yang masih boleh digunakan sebagai komuter harian. Pagi redah kerja kat Damansara. Petang lepak mamak kat Bangsar South. Malamnya pulak, boleh terus mengokok tayar sepanjang MEX atau Sepang. Satu kereta untuk semua katanya. Itu pun kalau larat tekan klac macam ysuku…

Di sesetengah tempat, model edisi terhad ini telah mencapai status cult dan menjadi antara jentera koleksi yang cukup dihargai. Hal tersebut bagaimanapun belum berlaku di sini. Mungkin kita banyak pilihan, termasuk lambakan Lancer jadian yang lebih mesra poket. Disebabkan jumlahnya yang agak terhad, mengambil maklum untuk merekodkan sebuah darinya di laman ini. Bukan biasa-biasa punya, selepas pemiliknya Zul mengambil keputusan untuk menaik taraf kereta ini dengan jajan lebih menarik.

MR Edition memiliki beberapa ciri eksklusif di bahagian luaran, untuk membezakan dirinya dengan yang biasa. Kesemua ciri tersebut, masih kekal bersama kereta ini seperti kit badan, lampu utama smoke, bumbung aluminum berbonggol, unit vortex generator, termasuk pilihan warnanya.

Sebahagian lagi telah digantikan dengan komponen keluaran tuner terkenal seperti hood gentian karbon Voltex, lip depan Do Luck, cermin sisi Ganador, serta penutup skirt sisi gentian karbon.

Kereta ini dibekalkan dengan set suspensi Bilstein yang sedang elok untuk memberi keselesaan dan respon pengendalian yang diperlukan. Namun untuk gaya lebih fleksibel, ia telah digantikan dengan set suspensi boleh laras dari BC Racing.

Kit Brembo asal masih dikekalkan, tapi ditambah baik dengan set rotor Project Mu dan pad brek Endless CCRG. Begitu juga dengan bahagian rodanya yang masih menggunakan rim forged BBS 17-inci, beserta tayar Bridgestone Potenza RE003 dari saiz 235/45ZR-17.

MR Edition masih menggunakan enjin 2.0-liter yang sama, tapi menerima kit turbo dan camshaft lebih responsif, termasuk kotak gear manual 6-kelajuan yang pertama untuk siri Evolution. Ia bagi menghasilkan ratio gear lebih rapat, sekaligus mengurangkan masalah turbo termenung dalam julat kuasa yang diperlukan.

Walaupun dibekalkan dengan enjin penuh kuasa, Zul tanpa segan silu cuba menghasilkan sesuatu yang lebih mengkagumkan. Dah memang itu gayanya bermain Evo, rugilah kalau tak bikin.

Ia bermula dengan meningkatkan kapasiti enjin, menerusi penggunaan kit stroker 2.2-liter yang mengandungi unit crankshat 94mm Eagle, conrod 156mm Manley, piston Wiseco, serta galas enjin ACL Race. Ruang kepala silinder pula menempatkan set camshaft Tomei 280° dan cam pulley HKS. Sebelum dicantumkan, ia dilapik gasket keluli 1.5mm Cometic bagi membetulkan nisbah mampatan secara keseluruhan.

Tumpuan seterusnya melibatkan sistem pendesak, yang kini dikuasakan oleh unit turbo Garrett GT40 AR.72. Ia digantung pada manifold turbo Tonnka yang turut memegang wastegate Tial MVR.

Proses sejukan boost dibantu intercooler Blitz Type R dan dihubungkan ke throttle body 70mm Works Engineering dengan paip intercooler kustom. Sementara lebihan boost yang tidak digunakan, akan dilepas keluar menerusi injap pelepas Tial.

Peningkatan enjin ini perlu disertakan dengan suapan bahan api yang mencukupi. Menggunakan pam petrol Walbro, ia dihantar ke rel bahan api Sard sebelum disuntik dengan set injektor 1000cc Power Enterprise ke kebuk pembakaran.

Proses balikan dan kawalan tekanan pula diselia unit regulator Works Engineering. Bagi melengkapkan proses pembakaran, sistem cucuhan dibantu pek koil nyalaan MSD Ignition, manakala sistem pengurusan enjin kini menggunakan kotak magik F-CON V Pro dari HKS.

Ruang dalaman berupa sebuah MR Edition yang sebenar. Nak bikin apa lagi. Hampir keseluruhan komponen penting seperti tempat duduk Alcantara, stereng dan trim gentian karbon masih di tempatnya.

Tambahan komponen melibatkan penggunaan tombol gear RalliArt, karpet HKS Kansai dan pemain audio Kenwood. Gajet elektronik pulak mengandungi pemasa enjin HKS Type 1, pengawal boost GReddy Profec B, serta deretan meter Defi di ruang tengah.

Walaupun baru aje siap, Zul sudah berkira-kira untuk menyerahkan kereta menannya ini kepada insan yang minat. Nak cari menan barulah tuh. Untung besar kalau ada yang berani sambung projek MR Edition ni…

SPESIFIKASI

  • Pemilik – Zulhelmi
  • Pengeluar – Mitsubishi
  • Model – Lancer Evolution VIII MR Edition
  • Tahun – 2004 / 2009
  • Enjin asal – 4G63T
  • Modifikasi enjin – Stroker 2.2-liter, crankshat 94mm Eagle, conrod 156mm Manley, piston Wiseco, galas enjin ACL Race, camshaft Tomei 280°, cam pulley HKS, gasket keluli 1.5mm Cometic, stud ARP, penapis udara Blitz SUS, turbo Garrett GT40 AR.72, manifold turbo Tonnka, wastegate Tial MVR, intercooler Blitz Type R, paip intercooler kustom, throttle body 70mm Works Engineering, injap pelepas Tial, pam petrol Walbro, rel bahan api Sard, injektor 1000cc Power Enterprise, regulator Works Engineering, koil nyalaan MSD Ignition, ECU F-CON V Pro HKS, radiator aloi Trust, tangki perangkap minyak GReddy
  • Transmisi – Kotak gear manual 6-kelajuan, set klac plet berkembar OS Giken
  • Ekzos – Trust PETiR
  • Luaran – Kit badan Evo VIII MR Edition, hood gentian karbon Voltex, lip depan Do Luck, cermin sisi Ganador, penutup skirt sisi gentian karbon
  • Suspensi – BC Racing
  • Brek – Kaliper Brembo, rotor Project Mu, pad brek Endless CCRG
  • Rim & Tayar – BBS 17-inci & Bridgestone Potenza RE003 235/45ZR-17
  • Dalaman – Evo VIII MR Edition, tombol gear RalliArt, karpet HKS Kansai, pemain audio Kenwood, pemasa enjin HKS Type 1, pengawal boost GReddy Profec B, meter tambahan Defi
  • Bengkel – #acah2topgarage

KREDIT:KAKIKERETA.COM

Tags
Google ads
Back to top button