Artikel Pilihan

KENAPA ADA PAIP AIR PADA DINDING PENAHAN DI TEPI BUKIT?

Pernahkah anda memandu di kawasan berbukit seperti menuju ke Cameron Highland, Genting Highland atau mana-mana pusat peranginan tanah tinggi? Mungkin anda akan perasan bahawa kebanyakan jalan raya atau lebuh raya di kawasan ini dibina bersebelahan lereng bukit

Mungkin bukan semua kawasan ini dibina di lereng bukit, tapi pada kebanyakan masa jika jalan raya atau lebuh raya yang perlu dibina perlu melalui kawasan berbukit, maka jalan raya akan dibina di lereng bukit disebabkan kos pembinaan yang lebih ekonomi dan cepat masa pembinaan

Tapi sebaik sahaja permukaan tanah di lereng bukit diratakan untuk pembinaan jalan, maka ia akan mengganggu kestabilan tanah di kawasan tersebut. Disebabkan kekuatan tanah berkurang, maka bagi mengukuhkan tanah di kawasan ini dinding penahan (retaining wall) akan dibina di sini

Dinding penahan ini akan dibina di lereng bukit yang mana kecerunan tanah berubah dengan terlalu drastik. Jika hujan lebat berlaku, maka tanah yang terdedah tadi dengan kecerunan yang terlalu besar akan menyebabkan ia terdedah kepada hakisan air yang mengalir laju

Tapi adakah anda perasan yang dinding penahan ini memiliki saluran paip yang keluar dari dalam dinding penahan ini? Paip ini sebenarnya direka agar ia boleh mengeluarkan air dari bahagian belakang dinding ke arah luar dengan mudah. Jika air ini tidak dikeluarkan dari bahagian belakang dinding penahan, tekanan hidrostatik akan meningkat di bahagian belakang dinding penahan

Tekanan hidrostatik ini berpotensi untuk menyebabkan kegagalan struktur dinding penahan, yang akhirnya akan menyebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh pada jalan raya. Apabila hujan turun, air hujan ini akan meresap dalam tanah yang berada di belakang dinding penahan

Disebabkan wujudnya halangan perjalanan air ini oleh pembinaan dinding penahan bagi menguatkan struktur tanah, tanpa paip air ini struktur dinding penahan besar kemungkinan akan mengalami kegagalan

Paip ini akan ditanam di dalam dinding penahan terus kebahagian tanah yang dilindungi oleh dinding. Di dalam tanah, hujung paip ini akan dilindungi oleh batu kerikil yang bertindak sebagai penapis semulajadi

Satu lagi kaedah yang dibuat ialah dengan menggunakan paip air berliang di bahagian keliling paip, dilindungi dengan batu kerikil dan dibalut dengan geotekstil boleh digunakan. Dengan ini hanya air yang akan keluar melalui paip ini, bukannya tanah yang akhirnya akan menyebabkan lubang ini tersumbat

Jadi anda sudah tahu kenapa dinding penahan dibina di lereng bukit berhampiran lebuh raya, dan kenapa dinding tersebut memiliki paip. ia bukan hiasa, bukan suka-suka dan dan paip syarikat bekalan air.

Google ads
Back to top button