Motosikal

BUNYI JENTERA MOTOGP BUAT KAMI SAKIT HATI – PEMILIK TANAH LITAR MANDALIKA 

Gelagat tiga penduduk tempatan yang memakai kain sarung sambil menyaksikan sesi ujian rasmi MotoGP di Litar Mandalika, Indonesia tular di media sosial.

Gambar tersebut dirakam jurugambar profesional dan dimuat naik dalam akaun Instagram Repsol Honda Team.

Tiga individu tersebut yang dikenali sebagai Sibawaeh, 53, Medan, 47 dan Amaq Manim, 57, merupakan pemilik sebahagian tanah yang dijadikan litar lumba tersebut.

Lebih menyedihkan, urusan penjualan dan pembayaran tanah masih belum diselesaikan oleh Perbadanan Pembangunan Pelancongan Indonesia (ITDC).

Sibawaeh memaklumkan tanahnya seluas 3.5 hektar diambil oleh ITDC untuk membangunkan sebahagian kawasan litar dan dia dijanjikan dengan bayaran yang lumayan, namun hingga kini hanya janji tinggal janji.

“Bunyi deruan motor ini buat hati saya sakit. Sedih mengenangkan nasib kami, tanah tergadai, duit tak dapat.

“Kami tidak sedar gambar kami dirakam ketika menyaksikan sesi ujian itu dan dalam hati kami terdetik bilakah masalah (jual tanah) ini akan selesai,” katanya kepada Kompas.com.

Sibawaeh mengakui foronya yang viral itu adalah perkara biasa kerana selama masalah tanah itu belum selesai, sudah ramai wartawan tempatan dan antarabangsa yang datang menemuramahnya. 

“Jadi, kalau ada foto saya, mungkin mata kamera diarahkan Tuhan kepada saya. Sehingga pihak yang bertanggungjawab boleh membantu menyuarakan perasaan saya dan segera dibayar. Dalam foto berkenaan, lelaki itu berdiri di tanah miliknya yang menempatkan selekoh 9 dan 10 Litar Mandalika. 

Dia juga memberitahu sekiranya pelumba tahu bahawa litar yang dilalui masih belum diselesaikan bayarannya, mereka tidak akan sampai hati untuk menggunakannya.   

Sementara itu, Gabenor Nusa Tenggara Timur sebelum ini sudah membentuk pasukan bertindak bagi menyelesaikan masalah yang timbul, namun sehingga kini tiada apa yang berubah.

Jurucakap pasukan tindakan itu, Zainal Asikin memaklumkan, terdapat 10 kes berkaitan masalah tanah perlu diuruskan dan ketika ini hanya dua yang berjaya diselesaikan. Menurutnya, penyelesaian kes penjualan serta pembayaran tanah mengambil masa yang lama.

Asikin turut mengakui kes bayaran tanah itu tidak akan selesai menjelang perlumbaan MotoGP yang bekal berlangsung pada 18 hingga 21 Mac depan. Asikin memberitahu kesulitan menyelesaikan masalah tanah tersebut berikutan ia melibatkan banyak waris. – Utusan Malaysia, Kompas

Google ads
Back to top button