" "
Artikel Pilihan

KENAPA KEBANYAKAN KERETA KEMBALI MENGGUNAKAN TAYAR GANTIAN BERSAIZ PENUH?

Jika anda membesar pada awal 1990an dan 2000an anda akan perasan kebanyakan kereta direka dengan ruang simpanan di bawah ruang kargo bagi membawa tayar gantian. Jika berlaku kebocoran pada tayar kenderaan, maka anda masih boleh meneruskan perjalanan dengan menggunakan gantian.

Untuk kebanyakan kes, tayar gantian ini akan disimpan sekali dengan jek, pembuka tayar dan juga segitiga kecemasan untuk memberi amaran ketika kereta rosak. Tapi salah satu isu yang berkait dengan tayar gantian bersaiz penuh ini ialah ia berat dan menggunakan ruang yang besar dalam ruang kargo.

Ya cuba anda angkat tayar gantian ini dengan kudrat anda dan ia sememangnya berat. Awal 2000an dulu ketika pengeluar kenderaan cuba mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida, salah satu inisiatif yang dibangunkan ialah dengan mengurangkan terus berat kenderaan.

Cara paling senang ialah dengan menggantikan tayar gantian kepada tayar sementara atau juga dipanggil sebagai temporary tyre. Ia direka dengan lebih kompak dan ringan bagi mengurangkan penggunaan bahan api ketika kereta dipandu. Tak percaya cuba angkat dengan sebelah tangan pun tiada masalah

Disebabkan rekaannya yang kompak, ia hanya menggunakan sedikit sahaja ruang kargo di bahagian belakang. Bagi solusi jangka masa panjang, pengeluar kenderaan telah bereksperimen dengan menggunakan tayar gerak kempis (run flat tyre) dan menggantikan temporary tyre ini dengan tyre repair kit.

Tapi disebabkan penulis selalu memandu di jalan raya terpencil dan sukar untuk sampai ke kedai tayar, maka bagi penulis tayar gantian bersaiz penuh adalah jauh lebih baik berbanding dengan temporary tyre dan juga tyre repair kit.

Bayangkan anda perlu pulang ke kampung berhari raya dengan 4 penumpang dan ruang kargo dipenuhi dengan beg pakaian dan pelbagai barangan lain. POM tiba-tiba tayar anda meletup dan anda perlu menggunakan temporary tyre.

Lepas siap pasang temporary tyre yang kecil molek itu anda ada beberapa masalah:

1. Haaa kat mana nak letak tayar bersaiz penuh yang pecah tadi? Nak letak dalam ruang simpanan tayar mesti tak muat sebab ruang temporary tyre adalah sangat kecil. Nak letak dalam ruang kargo tak boleh sebab dah penuh dengan barang.

Anda hanya ada 2 pilihan samaada membawa tayar dan rim atas bumbung atau meriba tayar tersebut untuk ke kedai tayar. Malah ada beberapa pengeluar kenderaan telah membangunkan plastik khas bagi membalut tayar ketika ia dibawa dalam ruang penumpang

2. Disebabkan temporary tyre ini nipis, maka dinamik pengendalian kereta akan berubah. Anda tidak boleh memandu laju melebihi 80km/jam, prestasi brek akan menurun, anda boleh terbabas jika terlalu laju di selekoh dan temporary tyre ini akan menyebabkan sistem ESC tidak dapat beroperasi dengan baik.

3. Temporary tyre ini sebenarnya direka untuk memudahkan anda ke kedai tayar sahaja, bukan meneruskan perjalanan. Tapi kalau tayar ini rosak, sangat sukar untuk membeli tayar ini kerana ia bukan dijual secara terbuka di kedai tayar

Bagi kenderaan dengan enjin pembakaran dalam konvensional, pengeluar seperti Toyota dan Perodua kembali menggunakan tayar gantian bersaiz penuh dengan cesi yang cukup besar bagi memuatkan tayar tanpa menjejaskan ruang kargo yang besar.

Tapi bagi kenderaan dengan teknologi hibrid atau PHEV, ia tiada pilihan lain kerana ruang di bawah kusyen belakang akan dipenuhi dengan bateri, inverter dan pelbagai komponen elektrifikasi yang lain. Ini menjadikan ruang yang ada hanya cukup untuk temporary tyre sahaja

Google ads
Back to top button