
TUKAR PALAM PENCUCUH MAHAL SEBANRNYA MEMBAZIR?
Ramai pemilik kereta percaya bahawa penggunaan palam pencucuh yang lebih mahal, khususnya jenis iridium atau platinum, mampu meningkatkan kuasa enjin. Ada juga yang sanggup mengeluarkan wang lebih untuk mendapatkan spark plug berprestasi tinggi dengan harapan kereta menjadi lebih bertenaga, responsif dan lancar ketika dipandu.
Namun, adakah dakwaan tersebut benar?
Sebanrnya palam pencucuh yang lebih mahal tidak semestinya menjadikan enjin lebih berkuasa. Fungsi utama komponen ini adalah menghasilkan percikan elektrik untuk menyalakan campuran udara dan bahan api di dalam kebuk pembakaran. Ia merupakan sebahagian daripada sistem pencucuhan dan bukannya komponen yang menghasilkan kuasa tambahan secara langsung.
Spark plug mahal tidak semestinya meningkatkan kuasa
Sekiranya sesebuah enjin masih berada dalam keadaan baik dan menggunakan spark plug mengikut spesifikasi asal pengeluar, menukar palam pencucu kepada jenis lebih mahal tidak akan memberikan peningkatan kuasa kuda yang ketara.
Spark plug iridium misalnya mempunyai elektrod yang lebih halus dan diperbuat daripada bahan yang lebih tahan terhadap suhu tinggi serta kehausan. Ciri ini membolehkan ia memberikan pencucuhan yang konsisten dan mempunyai jangka hayat lebih panjang berbanding sesetengah spark plug konvensional.

Tetapi ia tidak bermaksud penggunaan iridium secara automatik meningkatkan kuasa enjin. Jika sistem pencucuhan enjin sudah berfungsi dengan sempurna, spark plug yang lebih mahal tidak mempunyai banyak ruang untuk memberikan peningkatan prestasi.
Spark plug baharu boleh mengembalikan kuasa yang hilang
Walaupun spark plug baharu tidak semestinya menambah kuasa, ia boleh membantu mengembalikan prestasi enjin yang sudah merosot akibat penggunaan dalam tempoh yang lama.
Spark plug sentiasa terdedah kepada suhu tinggi, tekanan pembakaran dan proses percikan elektrik berulang kali. Dalam sela masa yang lama elektrod boleh mengalami kehausan sehingga mengubah jarak antara elektrod tengah dengan elektrod bumi. Mendapan karbon juga boleh terkumpul pada bahagian hujung spark plug dan mengganggu proses pencucuhan.
Keadaan ini boleh menyebabkan pembakaran tidak lagi berlaku secara optimum yang menyebabkan enjin mungkin terasa kurang responsif, penggunaan bahan api meningkat atau mengalami misfire apabila campuran udara dan bahan api gagal dibakar dengan sempurna.
Apabila spark plug lama digantikan dengan unit baharu yang mengikut spesifikasi pengeluar, prestasi enjin boleh kembali seperti asal. Pemandu mungkin merasakan kereta lebih bertenaga selepas penggantian tersebut, tetapi sebenarnya kuasa yang hilang telah dipulihkan dan bukannya kuasa tambahan dihasilkan.

Enjin yang dimodifikasi mungkin memerlukan spark plug berlainan
Keadaan berbeza bagi enjin yang sudah menjalani modifikasi untuk menghasilkan kuasa lebih tinggi. Contohnya enjin turbo yang menerima ECU remapping dan peningkatan tekanan boost mungkin memerlukan spark plug dengan spesifikasi berlainan berbanding komponen asal.
Apabila tekanan boost dinaikkan, lebih banyak udara dimasukkan ke dalam kebuk pembakaran. Tekanan silinder yang lebih tinggi turut menjadikan sistem pencucuhan bekerja dalam keadaan lebih mencabar. Jadi pemilihan spark plug perlu mengambil kira keupayaan ignition coil, heat range dan jarak elektrod supaya percikan api kekal konsisten ketika enjin menghasilkan kuasa tinggi.
Spark plug lebih sejuk untuk enjin berprestasi tinggi
Satu perkara penting dalam pemilihan spark plug untuk enjin yang sudah dimodifikasi ialah heat range atau julat haba. Spark plug mempunyai keupayaan berbeza untuk memindahkan haba daripada hujung elektrod ke kepala silinder. Spark plug jenis lebih sejuk mampu menyingkirkan haba dengan lebih pantas dan digunakan pada enjin berprestasi tinggi yang beroperasi dengan tekanan dan suhu pembakaran lebih ekstrem.
Ini penting kerana spark plug yang terlalu panas boleh menyebabkan fenomena pre-ignition, iaitu campuran udara dan bahan api terbakar sebelum percikan api yang dijadualkan berlaku. Keadaan ini boleh menghasilkan tekanan silinder yang terlalu tinggi dan berisiko merosakkan komponen dalaman enjin seperti piston.
Bagaimanapun, spark plug yang terlalu sejuk juga tidak sesuai untuk semua enjin. Jika suhu operasinya tidak mencapai tahap yang diperlukan, mendapan karbon boleh terkumpul dan menyebabkan masalah pencucuhan. Oleh itu, pemilihan heat range perlu berdasarkan tahap modifikasi dan keperluan sebenar enjin.

Spark plug iridium lebih tahan, bukannya lebih berkuasa
Spark plug iridium popular kerana menggunakan bahan yang mempunyai ketahanan tinggi terhadap suhu dan kehausan. Penggunaan elektrod tengah yang lebih halus juga membolehkan percikan elektrik dihasilkan dengan lebih konsisten dalam keadaan operasi yang sesuai.
Berbanding spark plug konvensional, jenis iridium lazimnya mempunyai jangka hayat lebih panjang. Ini menjadikannya pilihan menarik untuk pemilik kereta yang mahukan komponen tahan lama dan tidak perlu kerap melakukan penggantian. Namun, pemilik perlu memahami bahawa harga yang lebih mahal tidak menjamin peningkatan kuasa enjin.
Spark plug iridium yang dipasang pada enjin yang tidak memerlukannya tidak akan memberikan kelebihan prestasi secara automatik. Malah, penggunaan spark plug dengan heat range yang tidak sesuai boleh menyebabkan masalah seperti pengumpulan karbon dan misfire.
Kesimpulannya, pilih spark plug mengikut spesifikasi enjin

Spark plug memainkan peranan penting dalam memastikan proses pembakaran berlaku dengan sempurna. Walaupun komponen ini kelihatan kecil dan ringkas, pemilihan yang tidak tepat boleh menjejaskan prestasi serta kebolehpercayaan enjin. Untuk kereta standard yang digunakan setiap hari, pilihan terbaik ialah menggunakan spark plug mengikut spesifikasi yang disyorkan pengeluar.
Tidak perlu membayar lebih semata-mata kerana percaya spark plug yang mahal mampu memberikan tambahan kuasa kuda. Bagi enjin yang sudah dimodifikasi pula, pemilihan spark plug perlu mengambil kira tekanan boost, suhu pembakaran, heat range dan jarak elektrod. Dalam keadaan ini, spark plug yang betul membantu memastikan kuasa tambahan hasil modifikasi dapat digunakan dengan lebih konsisten dan selamat.





