Artikel Pilihan

KENAPA PROTON e.MAS 7 TIADA PILIHAN AWD?

Proton telah selamat melancarkan sebuah lagi kereta elektrik terbaru mereka yang dibangunkan menerusi kerjasama dengan rakan teknikal mereka iaitu Geely. Setakat ini terdapat 2 varian yang dihasilkan iaitu Prime dan juga Premium.

Namun berbeza dengan SUV elektrik jenama lain yang menawarkan pilihan trenkuasa pacuan semua roda, kedua dua varian Proton e.MAS 7 hanya ditawarkan pacuan roda depan sahaja yang menjana sehingga 215 kuasa kuda dan 320Nm tork

Bagi varian Prime, ia dibekalkan dengan bateri bersaiz 49.52kWh yang membenarkan jarak pemanduan sehingga 345km WLTP, manakala varian Premium pula menggunakan bateri bersaiz 60.22kWh dengan jarak perjalanan 410km WLTP

Cuma ada beberapa rakan penulis mengeluh, “harga dah ok, jarak pulak tak boleh jauh”. Manakala penulis pula berteka-teki kenapa Proton tidak menawarkan varian AWD dua motor elektrik yang lebih berkuasa.

Jawapan yang mudah ialah faktor bateri yang digunakan. Seperti yang sedia maklum, Proton e.MAS 7 menggunakan bateri Aegis LFP Short Bateri generasi terbaru yang menawarkan ketumpatan kuasa sehingga 192Wh/kg

Angka ini sebenarnya jauh lebih baik berbanding dengan bateri LFP generasi lama yang hanya menawarkan sekitar 150Wh/kg. Namun angka ini sebenarnya masih lagi kurang jika dibandingkan dengan bateri ion lithium Nickel Manganese Cobalt dengan ketumpatan tenaga 220-300Wh/kg

Dengan andaian bateri NMC 66kWh, mungkin Proton e.MAS 7 boleh dipandu sejauh 450km sekiranya menggunakan satu motor elektrik.

Tapi boleh ke Proton guna bateri NMC? Penulis tidak pasti, namun rakan teknikal Proton iaitu Geely ada jawapannya. Alasan pertama penulis ialah penggunaan platform e.MAS yang menggunakan platform baru Global Intelligent New Energy Architecture ataupun GEA

GEA ini adalah platform derivatif daripada SEA Sustainable Experience Architecture yang turut digunakan oleh Smart#1 dan juga Smart#2. Jenama Smart dimiliki oleh Geely dan untuk pasaran Malaysia, ia dijual oleh Proton New Energy Technology Sdn Bhd 

Smart#1 Premium sebagai contoh menggunakan bateri NMC 66kWh dengan jarak pemanduan sehingga 440km WLTP dengan menggunakan satu motor elektrik yang menjana sehingga 268 kuasa kuda dan 343Nm tork

Dengan saiz bateri lebih kurang sama (66kWh vs 60.22kWh), berat yang hampir sama (e.MAS 7 1765kg vs Smart#1 1800kg) dan saiz roda yang hampir sama (e.MAS 235/50 R19 vs Smart#1 235/45 R19), jarak perjalanan Smart#1 mengatasi Proton e.MAS 7.

Malah jarak antara roda Proton e.MAS 7 dengan Smart#1 adalah sama pada 2750mm, membuktikan yang platform kedua dua kereta adalah sama.

Kalau Proton e. MAS 7 menggunakan bateri NMC 66kWh, tekaan penulis ialah ia mampu dipandu sejauh 450km dengan syarat ia masih mengekalkan rekaan satu motor. Tekaan ini dibuat dengan kadar seretan Proton e.MAS 7 adalah 0.269 sahaja berbanding dengan Smart#1 0.29

Tapi kalau Proton menawarkan e.MAS 7 dengan rekaan AWD dua motor elektrik, jarak perjalanan akan berkurang menjadi 370km jika menggunakan bateri LFP atau 400km sahaja dengan bateri NMC

Untuk kecekapan tenaga yang tinggi, tetapan satu motor elektrik sebenarnya jauh lebih cekap dan membenarkan pemanduan yang lebih jauh berbanding dengan tetapan 2 motor elektrik

Google ads
Back to top button