Artikel Pilihan

KENAPA TIADA MOTOSIKAL BERKUASA DIESEL DIJUAL SEKARANG?

Pernahkah anda dengar nama motosikal Sommer Diesel 462, Royal Enfield Taurus, Track T-800CDI atau Hayes Diversified Technologies M1030M1? Semua motosikal yang kami senaraikan ini ialah motosikal yang menggunakan enjin diesel dan bahan api diesel. Bunyi agak pelik kan

Tapi motosikal berkuasa diesel memang wujud dan pernah dijual di kebanyakan negara satu ketika dulu terutama India. Antara faktor utama yang mendorong penghasilan motosikal berkuasa diesel ialah penjimatan bahan api yang sangat baik, bagus untuk negara membangun dimana kos bahan api adalah mahal

Sebagai contoh Royal Enfield Taurus diesel berupaya menunjukkan penjimatan bahan api yang luar biasa baik, iaitu sekitar 86km bagi setiap liter diesel yang digunakan. Antara 2 faktor utama yang menyumbangkan penjimatan bahan api ialah seliter diesel mengandungi tenaga kimia yang lebih tinggi berbanding dengan seliter petrol

Diesel juga lebih mudah dan murah untuk dihasilkan berbanding dengan petrol. Enjin diesel juga beroperasi pada nisbah mampatan yang lebih tinggi berbanding enjin petrol, menjadikan kecekapan mekanikal enjin diesel lebih baik.

Tapi pada hari ini, sangat susah untuk anda mencari motosikal berenjin diesel, malah semua motosikal baru yang dijual pada hari ini adalah berkuasa petrol. Kami huraikan kenapa motosikal berkuasa diesel menjadi semakin pupus pada hari ini.

1. Berat – sama seperti kereta, enjin diesel adalah lebih berat berbanding dengan enjin petrol. Ini kerana enjin diesel beroperasi dengan membakar diesel secara mampatan dan pembakaran dimulakan akibat tekanan yang kuat (400 psi) serta pada suhu yang tinggi (2500 darjah celcius)

Suhu dan tekanan yang tinggi memaksa pengeluar menghasilkan enjin yang kuat dan komponen enjin yang diperkukuhkan. Enjin yang berat menjadikan motosikal kurang lincah di selekoh dan mengganggu kestabilan tunggangan

2. Kuasa yang terhad – berbeza dengan enjin petrol yang menghasilkan kuasa kuda yang tinggi pada RPM yang tinggi, enjin diesel pula menghasilkan tork yang tinggi pada RPM rendah. Secara umum kuasa kuda terhasil apabila tork dihasilkan pada RPM yang tinggi (kuasa kuda = tork x RPM)

Keadaan ini menyebabkan motosikal petrol menghasilkan kuasa kuda yang lebih bagus berbanding motosikal diesel. Sebagai perbandingan Royal Enfield Diesel menghasilkan 6.8 kuasa kuda manakala Royal Enfield petrol menjana 19 kuasa kuda dari saiz enjin yang hampir sama.

3. Gegaran – disebabkan enjin diesel beroperasi dengan membakar diesel secara mampatan bukannya dimulakan dengan percikan api seperti enjin petrol, maka ia cenderung untuk menghasilkan gegaran yang lebih teruk.

Ia akan menyebabkan tangan, kaki dan dan pinggul penunggang motosikal menjadi kebas untuk perjalanan jarak jauh. Tangan yang kebas menyukarkan proses memulas throttle dan mengawal handle.

4. Beroperasi pada RPM rendah – selain daripada berat enjin dan komponen enjin yang berat dan membataskan pergerakan dan putaran RPM, enjin diesel juga perlu beroperasi pada julat RPM yang rendah bagi memastikan operasi pembakaran berlaku dengan sempurna

Senang cerita, enjin diesel secara tradisional tidak boleh beroperasi pada RPM tinggi. Walaupun ia menyebabkan enjin diesel menjadi lebih jimat, tapi ia tidak menghasilkan sensasi keseronokan pada penunggang. Penunggang mahukan enjin yang boleh meligat pada RPM tinggi dalam masa yang singkat

5. Lemau – apabila anda gabungkan enjin yang berat dan kuasa enjin yang terhad, ia menjadikan nisbah kuasa kepada berat motosikal adalah rendah. Pecutan enjin adalah lemah dan ia sukar dikawal di selekoh menyebabkan anda mula terasa bosan untuk perjalanan jarak jauh. Baik tunggang EX5 kalau macam ni

Namun masalah ini tidak menghalang beberapa syarikat untuk terus membangunkan motosikal dengan enjin diesel. Sebagai contoh Kawasaki KLR650 dihasilkan semula menjadi Hayes M1030 M1 dengan enjin diesel atas permintaan pihak tentera dan juga NATO bagi kegunaan medan perang.

Enjin yang dihasilkan oleh Cranfield University dan kerjasama Hayes Diversified Technologies boleh menggunakan 7 jenis bahan api daripada diesel, biodiesel, minyak kerosine untuk kapal terbang, dan juga apa sahaja bahan api yang terdapat di kem tentera.

Google ads
Back to top button