
NAFAS BAHARU UNTUK ACURA INTEGRA TYPE R MILIK LELAKI BERUSIA 86 TAHUN – VTEC ON ATOK!
Kalau korang rajin baca berita-berita permotoran luar negara mungkin pernah terbaca tentang seorang nenek tua berambut uban memandu Integra Type R beberapa tahun lalu. Betul ke berita ni? Tercabar pulak rasanya kami yang belum masuk 5 siri ni. Rupanya cerita tu memang betul dan Integra Type R hitam itu dimiliki oleh seorang lelaki bernama Bill berusia 86 tahun dan isterinya pula berusia 84 tahun.
Kini kereta kesayangan mereka telah diberi nafas baharu oleh sebuah bengkel yang pemurah dengan bantuan para penyumbang (crowdfunding) yang ingin melihat kebahagian pasangan datuk nenek yang paling cool di dunia ni.
Selepas lebih sepuluh tahun foto isteri Bill berlegar di internet memandu Integra Type R mereka kini mereka boleh berbangga kerana sudah dikenali dunia dan menjadi tumpuan dan inspirasi peminat kereta.
Beberapa bulan lepas sebuah bengkel di Pinella Park, Florida (LHT Performance) memuat naik beberapa video di laman sesawang Youtube menunjukkan sebuah Integra Type R hitam milik seorang lelaki berusia 86 tahun (Bill). Ia merupakan kereta yang sama tular sepuluh tahun lepas dan dibawa ke bengkel kerana lampu check engine yang menyala. Sebaik sahaja distributor diganti, kereta itu diserahkan kembali ke tangan Bill.
Penonton yang telah menonton video terbabit mula tertarik dengan personaliti Bill dan meminta pihak LHT Performance untuk memanggil kembali Bill dan keretanya untuk proses pembersihan dan restorasi.
Tertarik dengan idea tersebut pihak LHT Performances berjanji untuk memberikan 3 hari khidmat upah percuma jika penonton menekan ‘lonceng’ seterusnya memulakan kempen crowdfunding untuk kereta Bill. Sasaran jumlah kutipan yang diperolehi agak lumayan dan mereka segera menghubungi Bill untuk membawa keretanya kembali.
Hasilnya cukup menakjubkan untuk sebuah Integra yang sudah dipandu melebihi 300,000 kilometer. Mereka membersihkan ruang dalaman secara keseluruhan walaupun bukan senang nak bersihkan Alcantara ni sebenarnya. Sensor O2 yang sedikit bengkok dibetulkan kembali selain beberapa isu lain.
Bill cuma membuat satu permintaan kecil iaitu supaya penutup injap merah ikonik Type R dibersihkan tapi sebaliknya LHM menggantikannya terus dengan unit OEM baharu. Siap tukar timing belt sekali pulak tu satu set.
Transformasi ini berakhir dengan jayanya malah sewaktu kereta tersebut diserahkan kembali isteri Bill ingatkan Integra tersebut menggunakan rim baharu. Ia kembali berkilauan dengan warna gunmetal standard dan cap tengah baharu.
Para penderma mahu pemilik Type R menikmati kehidupan dengan kereta ini sepanjang hayat mereka dan usaha mereka nampaknya berjaya. Nampak tak betapa mulia hati mereka yang suka menderma ni. Jadi jangan kedekut sangat dalam hidup. Ada tak sapa-sapa nak derma untuk restorasi Tiara 2JZ abang ni?
Kredit japanesenostalgiccars.com