Motosikal

KES KECURIAN DI SIC – PENCURI SUDAH TAHU APA YANG HENDAK DIREMBAT

Insiden kecurian yang berlaku ketika semua pasukan bersiap-sedia untuk mengharung cabaran di Grand Prix (GP) Malaysia di Sepang, nyata mengecewakan rakyat Malaysia, terutama Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali.

Berikutan kes itu, Razlan memberitahu pihaknya sudah meningkatkan aspek keselamatan. Namun, masih ada pihak yang berani melakukan aktiviti tidak bermoral itu.

“Saya marah kerana walaupun kami telah membuat persediaan sepenuhnya, masih ada yang mahu memburukkan nama negara dan SIC  selaku penganjur sukan bermotor bertaraf dunia,” kata Razlan.   

Berdasarkan kepada maklumat awal, kejadian tersebut berlaku pada pukul 1 hingga 6 pagi ketika hujan lebat.  

Pastinya, jika dilihat kepada senarai barang yang hilang, perbuatan itu jelas dilakukan oleh mereka yang tahu tentang komponen berkenaan. Dalam erti kata lain, mereka sudah tahu apa yang hendak dirembat.

Selepas berjumpa dengan pasukan yang terlibat, Razlan menyatakan pihaknya tidak menolak kemungkinan ia didalangi oleh mereka yang tahu tentang jentera. Ini kerana semua jentera yang digunakan dalam MotoGP ialah prototaip.

 “Sebagai contoh, ada tayar hadapan dan belakang. Tetapi mereka hanya ambil tayar belakang. Mereka juga tahu apakah komponen yang digunakan pada jentera lumba,” jelas Razlan.

Laporan telah dibuat dan senarai barang yang hilang juga diserahkan kepada pihak polis.

“Nilai sebenar barang yang dicuri masih belum dapat dipastikan, tetapi semua pasukan dilindungi insurans. Kecurian ini melibatkan enam pasukan, tetapi pasukan Angel Nieto yang paling terjejas kerana banyak komponen Moto2 dan Moto3 milik mereka hilang,” katanya lagi.

Antara komponen yang dicuri termasuklah set lengkap penyerap hentak, angkup, cakera brek, komputer riba, peralatan bengkel serta pemanas tayar.

Razlan menegaskan bahawa Litar Sepang dipantau rapi oleh kamera liter tertutup (CCTV). Beliau juga menyatakan pihaknya akan mengaplikasikan sistem imbasan yang lebih canggih mulai tahun ini.

Google ads
Back to top button