
Sewaktu pelancaran Modenas Kriss MR2 minggu lepas, dalam sidang media diberitahu bahawa Modenas akan menjalinkan kerjasama bersama syarikat automotif luar negara. Tidak diberitahu siapa tetapi desas-desus bertiup kencang yang mereka akan mendapat rakan baru dari Bajaj Auto.
Sebenarnya, kami di mekanika sudah pun menulis mengenai informasi ini sejak tahun 2016 lagi. Waktu itu, ia masih di peringkat awal dan kami yakin, jika kerjasama ini benar, ia sudah pun berada di peringkat akhir untuk memuktamadkan perjanjian.
BACA: MODENAS BAWA MASUK KYMCO DAN BAJAJ?
BACA: PERKEMBANGAN TERKINI KYMCO-BAJAJ & PROJEK CUB 150CC
Terlebih dahulu, Modenas juga telah mengadakan kerjasama dengan Kymco, pengeluar skuter terbesar dari Taiwan. Ketika ditanya juga, pengurusan modenas memberitahu bahawa kerjasama dengan jenama baru ini tidak akan bertindan (overlap) dengan Kymco kerana mereka menghasilkan produk dari segmen berbeza. Tiada masalah.
Jika benar rakan baru Modenas ialah Bajaj, ia adalah satu langkah yang sangat baik. Ia dilihat sebagai langkah paling besar yang dibuat Modenas untuk terus dominan dalam industri motosikal yang kian sengit. Tapi. Siapa sebenarnya Bajaj?
BAJAJ AUTO KEBANGGAAN INDUSTRI AUTOMOTIF INDIA
Bajaj Auto diasaskan oleh individu bernama Jamnalal Bajaj di wilayah Rajasthan pada dekad 1940-an. Syarikat ini berpangkalan di Mumbai dan sehingga ke hari ini, mereka memiliki fasiliti kilang pengeluaran di wilayah Pune, Waluj dan Pantnagar. Kilang tertuanya terletak di Akurdi (dalam wilayah Pune) yang kini juga merupakan pusat R&D utama syarikat tersebut.
Bajaj Auto merupakan pengeluar kenderaan 2-roda dan 3-roda tertua di India. Mereka telah mula beroperasi penuh seawal tahun 1960-an yang bermula sebagai pengeluar skuter dan kemudiannya bertukar kepada pengeluar motosikal.
Pada hari ini, Bajaj mengeluarkan pelbagai model motosikal dalam semua kategori. Antara model-model popular yang dikeluarkan mereka ialah Pulsar, Avenger, Ninja, RE dan kerjasama dengan KTM. Syarikat ini telah berkembang dengan cukup pesat sejak sepuluh tahun kebelakangan ini.
Bajaj Auto juga merupakan pengeluar motosikal keenam terbesar di dunia dan yang kedua terbesar di India. Selain itu juga, mereka merupakan pengeluar kenderaan 3-roda terbesar di dunia dan kepada anda yang biasa dengan industri motosikal global, Bajaj adalah salah satu pemain industri yang dilihat bakal menggugat penguasaan jenama Jepun.
PERINGKAT AWAL
Pada peringkat awal penubuhannya, Bajaj telah memperkenalkan jenama skuter sulung mereka yang dinamakan Chetak. Ciri praktikal dan harga yang berpatutan pada skuter ini membuatkan ia menjadi cukup popular.

Nama Bajaj menjadi cukup sinonim dengan skuter, sama seperti Colgate pada produk ubat gigi. Pada sekitar 80-an, mereka memperkenalkan beberapa model baharu seperti Priya, Super dan beberapa model lagi. Tanpa saingan yang cukup kuat, mereka telah memonopoli pasaran kenderaan 2-roda di India.
Pada tahun 1984, syarikat yang dinamakan Hero Honda ditubuhkan. Mereka mula memasarkan motosikal yang mula menjadi semakin popular. Bajaj bagaimanapun masih kekal dengan segmen asal mereka, skuter.
HONDA MOTORCYCLES AND SCOOTERS INDIA (HMSI) 2001
Cabaran Bajaj sudah mula kelihatan dengan persaingan berdepan dengan Honda.
HMSI telah melancarkan skuter Activa dengan transmisi automatik yang telah menjadi cukup popular kerana mudah dioperasikan. Tambahan pula ia dilengkapi dengan suis penghidup elektrik, enjin termaju dan rupa yang bergaya.
Pelanggan mula beralih arah kepada Honda dan skuter Bajaj menjadi semakin usang. Bajaj seperti berada dalam keadaan koma dan gagal bangkit untuk menghadapi pasaran zaman moden (sama seperti syarikat Kodak).
Mereka pernah cuba menceburi bidang pembuatan motosikal dengan kerjasama Kawasaki tetapi jauh ketinggalan di belakang. Model Chetak semakin tenggelam di pasaran.
Dalam usaha untuk menyelamatkan keadaan, Bajaj turut menghasilkan skuter automatik yang dinamakan Kristal tetapi ia masih gagal menyaingi populariti Honda di pasaran.
Bagi sebuah syarikat yang telah belajar dari pengalaman masa lampau, Bajaj mengambil langkah drastik menukar perniagaan skuter mereka kepada motosikal.
MOTOSIKAL BAJAJ
Perjalanan Bajaj dalam dunia motosikal sebenarnya telah bermula pada tahun 1986 dengan pengenalan model ekonomi hasil kerjasama dengan Kawasaki yang dinamakan KB100. Ia kekal dalam pengeluaran selama 10 tahun dan digantikan dengan Boxer pada tahun 1997 dan kemudiannya digantikan oleh CT100 dalam tahun 2004.

Model kelas eksekutif Caliber dilancarkan pada tahun 1998 sebelum digantikan dengan Wind 125 dalam tahun 2003. Ia kemudian dijenamakan semula dengan nama Discover untuk model 125cc dan Platina untuk model 100cc.
KEJAYAAN SEBENAR
Bajaj mula mendapat rentak. Dari sebuah syarikat pembuat skuter yang beralih kepada motosikal, mereka belajar banyak perkara dan paling mengejutkan, mereka berjaya mengubah pasaran domestik kepada motosikal streetbike kecil.
Motosikal keluaran Bajaj mendapat sambutan yang cukup menggalakkan di mana konsep motosikal mereka mengingatkan kita pada awal industri motor Jepun. Motor yang murah, ringkas, ekonomikal dan lasak.

Bajaj kemudiannya memasuki kategori motosikal premium dengan model Pulsar dan Eliminator dalam tahun 2001. Model Pulsar merupakan peralihan penting dan dianggap satu kejayaan besar buat syarikat India ini.
Ia sudah beberapa kali dinaiktaraf namun rekaan asalnya masih lagi dikekalkan. Eliminator pula telah ditamatkan pengeluaran pada tahun 2005 dan digantikan dengan model Avenger.
Bajaj juga mempunyai hubungan dengan syarikat pengeluar motosikal KTM yang turut memegang 48 peratus pegangan saham dalam syarikat Austria tersebut. Model KTM yang boleh didapati di India ialah Duke 200, Duke 390, RC200 dan RC390.
MASA HADAPAN MODENAS
Tidak diketahui model apa yang bakal masuk ke pasaran Malaysia, (samada menggunakan nama Modenas atau Bajaj). Sekali lagi, jika rakan benar baru Modenas ialah Bajaj maka ia adalah lembaran baru buat syarikat motosikal nasional itu untuk terus berdaya saing.
Industri juga melihat ttindakan ini sebagai langkah bijak kerana keupayaan Pembangunan dan Penyelidikan Modenas tidak memungkinkan mereka untuk bersaing dengan pasaran yang semakin sengit.
Hakikatnya, sukar untuk berdepan dengan jenama-jenama besar seperti Honda dan Yamaha. Sejak pertengahan tahun 2000, banyak sudah jenama asing beroperasi merebut pasaran tempatan seperti Sym, Benelli, Demak dan hanya yang benar-benar kuat sahaja yang akan bertahan.
Tanpa rakan teknikal yang benar-benar bagus, Modenas sukar untuk berkembang dan menghasilkan model-model baru lebih pantas. Lihat sahaja apa jadi pada jenama-jenama seperti Comel, Daelim, JRD yang akhirnya tutup kedai. Itu tak apa lagi. Suzuki pun terpaksa mengalah dengan pengeluaran motosikal kecil mereka ditamatkan sama sekali.