Buletin

KIA EV9 CONCEPT – SUV TIGA BARIS TEMPAT DUDUK, PLATFORM E-GMP, JARAK GERAK 483 KM

Bersempena dengan acara LA Auto Show, Kia membawakan sebuah model konsep SUV elektrik Kia EV9 Concept sebagai satu gambaran kepada model SUV tiga baris tempat duduk yang akan muncul pada tahun 2024.

Dengan dimensi yang lebih pendek berbanding Telluride, SUV elektrik ini membawakan ukuran sepanjang 4,903 mm, lebar 2,055 mm, tinggi 1,790 mm namun dengan jarak antara roda yang lebih panjang, iaitu sekitar 3,100 mm.

Spesifikasi tidak didedahkan secara terperinci, namun dengan platform E-GMP itu tadi, Kia EV9 Concept mampu mencapai jarak operasi sejauh 483 km dengan teknologi pengecasan pantas yang membolehkan pengecasan 10-80 peratus dalam masa bawah 30 minit.

Tidak seperti Hyundai SEVEN Concept, Kia EV9 Concept membawakan reka bentuk yang agak bersegi, rekaan fender depan belakang yang lebar yang mengingatkan kita kepada model Jeep atau Hummer.

Muka depan Kia Tiger Face itu kini menampilkan rupa paras digital, dengan rekaan yang tertutup kemas dan menyorokkan unit lampu LED disebalik panel tersebut.

Kia EV9 Concept juga turut menampilkan panel solar yang berselindung di sebalik ‘liang udara’ pada hud yang dapat membantu memulihkan tenaga yang hilang, selain menjadi sumber tenaga alternatif sekiranya stesen pengecasan sukar untuk didapati.

Rekaan rel bumbung yang tertanam itu dikatakan mampu untuk meningkatkan kadar kecekapan aerodinamik.

Untuk ruang kabin, EV9 Concept menampilkan susun atur tempat duduk konvensional dengan rekaan tiga baris, dan masih mampu menawarkan kualiti kelas pertama, serta beberapa mod susunan tempat duduk yang boleh ditukar mengikut keperluan.

Selain daripada itu, antara kelengkapan yang ada termasuklah bumbung panoramik, skrin paparan lebar 27 inci, papan pemuka serta rekaan roda stereng yang agak ringkas.

Penggunaan bahan-bahan yang lebih mesra alam turut ditekankan pada Kia EV9 Concept seperti contoh jaring ikan yang dikitar semula untuk bahagian lantai, serta balutan fabrik yang diperbuat daripada botol platsik dan gentian bulu yang telah dikitar semula.

Sama seperti Hyundai SEVEN Concept, Kia EV9 versi produksi bakal menjadi SUV elektrik bertaraf mercu Kia dan akan menyerang pasaran menjelang tahun 2024.

Google ads
Back to top button