
KIA SALES MALAYSIA MULAKAN OPERASI DENGAN STRATEGI BAHARU- SPORTAGE KINI BERMULA RM128K
Kia Sales Malaysia Sdn Bhd (KSM) secara rasmi memulakan operasinya di pasaran tempatan dengan pelaksanaan strategi baharu yang memberi tumpuan kepada pemulihan keyakinan pengguna serta pengukuhan kedudukan jenama Kia di Malaysia.
Sebagai langkah awal, KSM melaksanakan penstrukturan semula harga bagi barisan model sedia ada agar lebih selari dengan keperluan dan jangkaan pasaran tempatan.
Usaha ini turut disokong dengan pengenalan beberapa inisiatif baharu termasuk program kesetiaan pelanggan, insurans berjenama Kia serta skim insentif khas untuk pelanggan korporat.

Harga Lebih Kompetitif untuk SUV dan MPV
Berkuat kuasa 1 Januari 2026, harga keseluruhan rangkaian Kia Sportage dan Kia Carnival telah disemak semula kepada tahap yang lebih kompetitif, sekali gus mengukuhkan kedudukan kedua-dua model ini dalam segmen SUV dan MPV tempatan. Kia Sportage kini ditawarkan pada harga bermula RM128,800.
Selaras dengan piawaian global Kia, semua kenderaan Kia baharu di Malaysia hadir dengan waranti selama lima tahun atau sehingga 150,000 kilometer, mengikut mana yang terdahulu.
Dalam usaha meningkatkan keyakinan pemilik, KSM turut mengumumkan pengurangan purata sekitar 15 peratus bagi harga alat ganti tulen Kia.
Operasi selepas jualan KSM disokong oleh gudang alat ganti khusus di Shah Alam, Selangor, yang bertujuan memastikan ketersediaan alat ganti lebih pantas dan mengurangkan tempoh menunggu perkhidmatan.

Program Kesetiaan dan Perlindungan Menyeluruh
Sebagai penghargaan kepada pemilik sedia ada, KSM memperkenalkan program kesetiaan Kia Circle yang menawarkan rebat tunai sehingga RM6,000 kepada pelanggan yang menaik taraf kepada kenderaan Kia baharu.
Program ini turut dibuka kepada ahli keluarga terdekat termasuk ibu bapa, pasangan dan anak.
KSM juga akan memperkenalkan Kia Professional, iaitu program khas untuk pelanggan korporat dan profesional yang menawarkan diskaun eksklusif sehingga tiga peratus bagi pembelian individu, selain pakej insentif tersuai untuk pembelian fleet berskala besar.
Bagi melengkapkan pengalaman pemilikan, KSM turut menawarkan Kia Cares, sebuah program insurans berjenama Kia yang disokong oleh Berjaya Sompo, Zurich dan Zurich Takaful.
Perlindungan ini merangkumi perlindungan komprehensif terhadap kemalangan, kehilangan serta pelbagai manfaat tambahan yang boleh disesuaikan mengikut keperluan pemilik.
Antara perlindungan pilihan termasuk perlindungan semua pemandu, elaun kesulitan, nilai dipersetujui sehingga 15 tahun, pengecualian kos betterment sehingga 10 tahun, perkhidmatan tunda tanpa had serta perlindungan kemalangan peribadi sehingga RM100,000.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman web rasmi Kia Sales Malaysia di www.kia.com/my bermula 8 Januari 2026 atau mengunjungi bilik pameran sah Kia berhampiran untuk melihat, memandu uji dan membuat tempahan bagi model seperti Kia Sportage, Kia Carnival dan Kia EV9.

