Buletin

KIA SASAR 14 EV MENJELANG 2027, TERMASUK DUA TRAK PIKAP!

Dalam pengumuman perancangan terbaharu, Kia merancang untuk memperkenalkan sehingga 14 buah model kenderaan elektrik (EV) menjelang tahun 2027.

Untuk itu, dua buah model EV baharu akan diperkenalkan setiap tahun sehingga tahun 2027, selain dua buah model trak pikap serba baharu.

Salah satu daripadanya merupakan model yang dibangunkan khusus menggunakan platform EV bespoke, sementara sebuah lagi trak pikap dikhususkan untuk pasaran membangun, jadi besar kemungkinan ia akan menggunakan pelantar senibina enjin pembakaran dalaman.

Trak pikap elektrik tersebut bakal diproduksikan di Amerika Syarikat bermula tahun 2024 diikuti sebuah SUV saiz pertengahan.

Pada tahun berikutnya, Kia merancang untuk memproduksikan EV bersaiz kecil dan pertengahan untuk pasaran Eropah, diikuti sebuah model aras mula dan model pertengahan untuk pasaran India selepas EV saiz pertengahan dilancarkan untuk pasaran China bermula 2023.

Masih ingat model konsep EV9? Model konsep ini bakal dijadikan sebagai sebuah model produksi sebenar bermula tahun depan, dengan jarak pemanduan sejauh 540 km, dan pecutan 0-100 km/j dalam masa lima saat.

Kia EV9 Concept ini bakal menampilkan ciri seperti kemaskini over-the-air (OTA), pelan langganan ciri tambahan Feature-on Demand (FoD), serta ciri bantuan pemanduan termaju AutoMode.

Dengan perancangan ini, Kia menyasarkan untuk mencapai angka jualan EV sebanyak 1.2 juta unit menjelang 2030, atau peningkatan sebanyak 36 peratus berbanding pengumuman terdahulu.

Sebahagian besar angka jualan ini akan datang dari pasaran penting seperti Amerika Utara, Eropah, Korea Selatan dan juga China, di mana Kia menyasarkan 40 peratus kenderaan yang dijual tidak mempunyai sebarang enjin pembakaran dalaman.

Kia percaya mereka mampu mencapai angka jualan keseluruhan sebanyak empat juta unit (gabungan kereta konvensional dan EV) setahun menjelang tahun 2030.

Google ads
Back to top button