Buletin

FORD+ PLAN ASINGKAN OPERASI EV (MODEL E) DAN KENDERAAN BERENJIN (BLUE)

Ford baru-baru ini mengumumkan proses penstrukturan semula yang menyaksikan operasi bagi kenderaan kini dibahagikan kepada dua, iaitu Model E dan juga Blue.

Di bawah Ford+ Plan, Divisyen Model E kini bertanggungjawab terhadap kenderaan elektrik serta aspek keterhubungan, sementara Ford Blue pula akan mengambil alih operasi perniagaan bagi kenderaan tradisional.

Menurut Ford lagi, kedua-dua divisyen tersebut akan menjalankan operasi secara berasingan, namun masih lagi berkongsi inovasi sesama sendiri.

Secara terperinci, divisyen Ford Model E akan memfokuskan tumpuan pada teknologi masa hadapan selain membangunkan aspek seperti platform EV, bateri, motor elektrik dan keupayaan kitar semula bagi kenderaan elektrik generasi berikutnya.

Divisyen ini juga akan turut memfokuskan perhatian kepada pembangunan perisian, serta pengalaman pembelian dan pemilikan kenderaan Ford pada masa akan datang.

Sementara Ford Blue pula akan memperkukuhkan kenderaan-kenderaan ikonik Ford seperti contoh F-Series, Ranger, Maverick, Bronco, Explorer dan juga Mustang.

Ford Model E bakal diketuai oleh CEO Ford itu sendiri, iaitu Jim Farley sementara Kumar Galhotra yang sebelum ini menjadi presiden Ford North America akan menjadi presiden divisyen Ford Blue.

Google ads
Back to top button