Buletin

KLIMS 2018 : CITROEN C3 AIRCROSS SUV CITARASA PERANCIS

Kalau hendak diikutkan, pasaran SUV kompak di tempat kita pun boleh tahan menariknya juga. Kita punya Haval H1 untuk wakil dari Asia, manakala Renault Captur terbukti agak berjaya percaturannya. Dan sempena KLIMS 2018 yang sedang berlangsung, Citroen telah menayangkan SUV kompak mereka terbaharu, C3 Aircross.

BACA : CITROËN C3 R5 SEDIA BERAKSI DI RALLYE DU VAR

BACA : RENAULT CAPTUR – CROSSOVER SEGMEN B PALING LARIS DI EROPAH

SUV dengan citarasa Perancis ini pasti ramai yang tidak menyedari kehadirannya di dewan pameran yang tersangatlah besar itu. Sudahlah saiznya tidak jauh bezanya dengan Myvi, diletakkan pula di bahagian belakang reruai Citroen / DS. Jadi agak tenggelam penampakkan Citroen C3 Aircross ini.

C3 Aircross ini sebetulnya dibina berdasarkan perkongsian pelantar dengan model Opel Crossland X, di bawah naungan Kumpulan PSA. Rekaannya jelas menampilkan sebuah SUV yang kelihatan funky (barangkali ini juga ditakrifkan sebagai meriangkan), ditambah lagi dengan bumbungnya

Skid plates yang terpampang di bahagian depan juga dianggap sebagai wajib jika ingin berubah sifat kepada sebuah SUV kegunaan bandar. Manakala penggunaan dua tona warna yang berbeza jelas menyerlahkan lagi paras rupa C3 Aircross ini.Er, sebetulnya tiga warna dan bukannya dua.

Nampak perumah cermin sisi, bidai venetian dan juga rel berbumbung berwarna jingga itu? Cukup sesuai apabila dipadankan untuk sebuah SUV kegunaan dalam hutan metropolitan.

Beberapa ciri standard seperti lampu utama Halogen, DRL LED, rim 4Ever (Nama rim tersebut. Manis bukan?) bersaiz 17 inci dengan dua tona warna, push star button, cruise control, penyelarasan auto cermin pandang belakang, sensor parkir bahagian belakang serta kamera undur dirasakan cukup berbaloi untuk dimiliki oleh anak muda.

Seperkara menarik tentang model ini, walaupun ianya kelihatan agak kecil, namun ruangan kargonya cukup luas, 410 liter. Setakat nak bawa empat beg besar balik kampung sememangnya bukanlah masalah besar buat C3 Aircross ini.

Sebagai sebuah SUV kompak, pilihan enjin 1.2 liter PureTech dengan pengecas turbo sudah memadai disemadikan dengan aman ke dalam ruangan enjin. Enjin yang sama juga turut digunapakai oleh model Peugeot 208. Enjin ini mampu mengekstrak kuasa 112 PS @ 5,500 RPM dan tujahan 205 Nm @ 1,500 RPM yang kemudiannya dipadankan pula dengan kotak gear auto enam kelajuan. Walaupun bernadikan turbo, penggunaan bahan bakarnya dilaporkan berada pada tahap 5.3 liter / 100 km. Kira ok jugalah kan.

Jikalau ada yang bertanya tentang harganya, maaf tiada sebarang makluman yang diberikan. Semakan dalam laman sesawang Citroen Malaysia juga belum masuk senarai lagi. Yang pasti harganya pasti keras. Iyalah, nak pinang makwe Perancis, pengerasnya harus keras juga. Kan?

 

 

 

Google ads
Back to top button