KRISIS IDENTITI AZNOM ATULUX – TAK TAU NAK JADI TRAK, SUV ATAU SEDAN
Sejak dahulu lagi, pengeluar cenderung untuk menghasilkan model crossover yang menggabungkan dua gaya rekaan kenderaan menjadi satu.
Nampaknya trend itu berterusan sehingga satu tahap yang agak berlebih-lebihan. Contoh terbaru ialah jentera yang dikenali sebagai Aznom Atulux ini.
Aznom Atulux disifatkan sebagai sebuah sedan mewah yang dibina di atas model trak pikap Ram 1500.
Memiliki panjang hampir enam meter, Atulux mengekalkan fascia hadapan trak pikap Ram dengan ruang kabin hampir dua kali ganda. Ruang itu membolehkan pembuatnya memasang satu bumbung suria tambahan dan tempat duduk lebih selesa untuk penumpang.
Walaupun bahagian luaran nampak sedikit pelik, ruang kabin dengan empat tempat duduk itu agak mengagumkan.
Konsolnya dibalut dengan material kulit nubuck Alcantara atau kemasan kayu. Tempat duduk belakang mempunyai konsol tengah yang dibina menggunakan kayu oak.
Konsol tengah itu menempatkan gelas whiskey, flut champagne dan sebuah mesin kopi Nespresso yang akan naik secara automatik apabila butang ditekan. Bukan itu sahaja, ia juga menempat sebuah peti sejuk yang boleh diisi dengan beberapa botol minuman.
Penumpang belakang boleh menonton televisyen atau DVD menerusi dua skrin LED bersaiz 17 inci. Monitor itu juga boleh digunakan untuk bermain X-Box yang tersorok di dalam konsol tengah.
Semua itu kemudian disempurnakan dengan sistem bunyi berkuasa 1,200 watt yang terdiri daripada 10 unit pembesar suara dan satu unit subwoofer.
Untuk menawarkan perjalanan yang lebih selesa, Aznom memasang material penyerap bunyi tambahan dan suspensi udara pada Atulux.
Aznom kini sudahpun membuka tempahan dan pelanggan boleh memilih kemasan kulit serta kayu mengikut kecenderungan masing-masing.
Harga yang ditawarkan adalah sekitar AS$263,130 (RM1.04 juta) sebelum cukai.
GALERI