Buletin

KVP SOKONG KOMITMEN PERODUA TINGKATKAN PEMBELIAN KOMPONEN BERJUMLAH RM6 BILION

Kelab Vendor Perodua (KVP) menyambut baik komitmen Perodua untuk meningkatkan pembelian komponen sebanyak 20% menjadi RM6 bilion tahun ini berbanding RM5 bilion tahun lepas. 

Komitmen itu dinyatakan walaupun Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menjangkakan perkembangan jumlah industri keseluruhan (TIV) pada tahun 2019 cuma 0.21%. 

Komitmen Perodua itu diumumkan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad di upacara pelancaran Perodua Aruz baru-baru ini. 95% daripada komponen Perodua Aruz adalah daripada pembekal tempatan.

“Komitmen ini akan mengukuhkan kedudukan kami dan harap dapat berkembang bersama  Perodua,” kata Presiden KVP, Musa Zahidin Ahmad Zaidee.

Menurut Musa, ramai ahli KVP terlibat dalam pembangunan Perodua Aruz dan kini membekalkan komponen untuk model tersebut.

Berdasarkan kepada data MAA, Perodua telah menjual 227,243 kenderaan, menguasai 38% daripada TIV dan mencatat kenaikan 11% sepanjang tahun 2018, berbanding 204,867 unit pada tahun sebelumnya.

Justeru, KVP amat menghargai bimbingan dan bantuan yang Perodua telah berikan kepada 138 ahlinya selama ini.

Antara bantuan yang telah Perodua berikan termasuk penetapan syarat pembayaran yang lebih singkat kepada ahli-ahli yang terjejas akibat penurunan pembelian komponen mendadak yang bermula pada tahun 2014.

Perodua juga telah menambah baik kecekapan kewangan pembekal dengan membeli peralatan pembuatan (tooling) secara terus daripada pengeluar antarabangsa. Dengan pembelian ini, pihak pembekal tidak lagi dibebani hutang daripada institusi kewangan semasa hendak membeli peralatan tersebut.

Selain bantuan kewangan yang diberikan oleh Perodua, Daihatsu Motor Company of Japan juga memainkan peranan penting dalam membantu pembekal tempatan. Baru-baru ini, ia telah melantik sekurang-kurangnya dua pembekal tempatan untuk menyertai rantaian bekalan globalnya.

Daihatsu komited untuk meneruskan sokongan terhadap Perodua dan pembekal tempatannya. Selari dengan visi Perodua untuk mengembangkan jenamanya di rantau Asia-Pasifik.

Google ads
Back to top button