Buletin

HYUNDAI DAN SELANGOR FC PERKUKUH KERJASAMA MUSIM 2026/2027

Hyundai Motor Malaysia (HMY) meneruskan kerjasama strategik bersama Selangor FC apabila mengumumkan lanjutan kontrak sebagai Rakan Mobiliti Rasmi kelab bola sepak berkenaan bagi musim 2026/2027.

Kerjasama yang diperbaharui itu memperlihatkan komitmen berterusan HMY dalam menyokong pembangunan bola sepak tempatan, selain mengukuhkan hubungan yang terjalin sejak musim lalu bersama skuad Gergasi Merah.

Menerusi kerjasama tersebut, Hyundai Motor Malaysia turut menyerahkan sebuah Hyundai TUCSON Prestige sebagai kenderaan rasmi pasukan bagi membantu urusan pengangkutan harian pegawai serta pengurusan Selangor FC sepanjang musim baharu.

Model SUV itu dipilih kerana menawarkan gabungan keselesaan, teknologi moden serta ciri praktikal yang sesuai untuk kegunaan operasi pasukan, sama ada di dalam mahupun luar padang.

Pengarah Urusan Hyundai Motor Malaysia, Jahabarnisa Haja Mohideen berkata, kejayaan Selangor FC mara sehingga ke final Kejuaraan Kelab ASEAN Shopee Cup musim 2025/2026 menjadi antara faktor yang mengukuhkan keyakinan syarikat untuk meneruskan kerjasama berkenaan.

Menurut beliau, hubungan antara kedua-dua pihak kini bukan sekadar penajaan korporat, sebaliknya berkembang sebagai usaha bersama untuk memperkukuh sokongan terhadap arena bola sepak tempatan.

“Kerjasama ini membuktikan prestasi dan kemajuan boleh bergerak seiring. Kami mahu terus menyokong cita-cita kompetitif Selangor FC sambil membawa pengalaman mobiliti yang lebih baik kepada pasukan serta penyokong,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon menyifatkan lanjutan kerjasama tersebut sebagai satu langkah positif bukan sahaja kepada kelab, malah kepada pembangunan bola sepak negara secara keseluruhan.

Katanya, kedua-dua pihak berkongsi visi sama dalam membina budaya disiplin, kemajuan dan pembangunan berterusan di dalam sukan.

Selain sokongan logistik kepada pasukan, Hyundai Motor Malaysia juga merancang pelbagai inisiatif yang lebih dekat dengan penyokong termasuk program komuniti, pembangunan akar umbi dan aktiviti interaksi bersama peminat.

Sepanjang musim lalu, kedua-dua pihak berjaya melaksanakan beberapa program termasuk Karnival Sekolah Bola Sepak Selangor FC bagi menyokong pembangunan bakat muda tempatan.

Hyundai Motor Malaysia turut terlibat dalam program HMY Sentiasa di Sisi Anda x SFC Cahaya Ramadan 2026 yang memberi manfaat kepada 150 pelajar kurang berkemampuan dari Bait Al-Hasanah, Klang menerusi bantuan keperluan asas, bahan pendidikan serta sumbangan kewangan.

Selangor FC menamatkan kempen Liga Super Malaysia 2025/2026 di tangga ketiga selain muncul naib juara Kejuaraan Kelab ASEAN Shopee Cup, sekali gus mengukuhkan reputasi mereka sebagai antara pasukan terbaik di rantau ini.

Kerjasama berterusan itu juga dilihat selari dengan komitmen global Hyundai dalam arena bola sepak, sambil memperluaskan impak terhadap komuniti dan pembangunan sukan di peringkat tempatan.

Google ads
Back to top button