Artikel Pilihan

TESLA DITIPU KEPALA PATUNG DI CHINA

Satu laporan terbaru mendedahkan terdapat segelintir pemilik Tesla di China yang dipercayai menggunakan kaedah pelik untuk memperdayakan sistem pemantauan pemandu (driver monitoring) bagi fungsi Full Self-Driving (FSD) Supervised.

Mereka didakwa menggunakan kepala anak patung kecil yang dipasang di dalam kabin bagi mengelirukan kamera pemantauan supaya sistem menganggap pemandu masih memberi perhatian kepada keadaan jalan raya.

Tesla menggunakan kamera yang dipasang berhampiran cermin pandang belakang untuk memantau tahap fokus pemandu ketika FSD Supervised diaktifkan. Sistem ini direka untuk memastikan pemandu sentiasa memandang ke hadapan dan bersedia mengambil alih kawalan pada bila-bila masa sekiranya diperlukan.

Tetapi laporan tersebut mendakwa ada pengguna yang berjaya memperdayakan kamera berkenaan dengan meletakkan kepala patung pada posisi tertentu sehingga ia menyerupai kehadiran pemandu sebenar.

Bagi memastikan helah itu berfungsi, sesetengah individu dilaporkan menggunakan penyedut vakum atau magnet untuk memegang kepala patung pada kedudukan yang sesuai.

Terdapat juga dakwaan bahawa fungsi Camera Preview yang disediakan Tesla dalam menu servis digunakan untuk melihat paparan kamera kabin secara langsung, sekaligus memudahkan pengguna melaraskan kedudukan patung sehingga dapat mengelirukan sistem pemantauan.

Apa yang mengejutkan ialah laporan itu turut menyatakan bahawa kini wujud pasaran khusus di China yang menawarkan pelbagai aksesori untuk tujuan tersebut. Antara produk yang dijual termasuk kepala patung dengan rupa selebriti, skrin kecil yang memaparkan imej berkelip serta beberapa peranti lain yang direka untuk mengaburi sistem pemantauan kamera dalam kabin.

Namun tindakan seperti ini menimbulkan kebimbangan besar dari aspek keselamatan. Tesla sendiri menegaskan bahawa FSD yang ditawarkan ketika ini masih berada di bawah konsep “Supervised”, bermakna ia hanyalah sistem bantuan pemanduan dan bukannya teknologi pemanduan autonomi sepenuhnya.

Jadi pemandu masih bertanggungjawab untuk sentiasa memantau keadaan sekeliling dan bersedia mengambil alih kawalan pada bila-bila masa dalam situasi kecemasan.

Kes ini juga menunjukkan bahawa walaupun teknologi bantuan pemanduan semakin canggih, masih terdapat ruang yang boleh dieksploitasi oleh pengguna yang tidak bertanggungjawab.

Ia memberi cabaran kepada pengeluar automotif untuk terus memastikan sistem pemantauan pemandu agar lebih sukar dimanipulasi, selain memastikan aspek keselamatan kekal menjadi keutamaan dalam pembangunan teknologi pemanduan masa hadapan.

Google ads
Back to top button