
LEAPMOTOR CATAT 1.5 JUTA PENGHANTARAN GLOBAL
Leapmotor terus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran mobiliti elektrik global apabila syarikat itu berjaya mencatat penghantaran kumulatif sebanyak 1.5 juta kenderaan di seluruh dunia, sekali gus menandakan fasa baharu pertumbuhan pesat jenama tersebut di peringkat antarabangsa.
Pencapaian terbaharu itu hadir hanya lapan bulan selepas Leapmotor melepasi angka sejuta unit penghantaran global.
Ia juga memperlihatkan momentum pertumbuhan yang semakin rancak seiring peningkatan permintaan terhadap kenderaan elektrik keluarannya.
Sejak penghantaran pertama dilakukan di China pada Jun 2019, Leapmotor menunjukkan perkembangan konsisten dengan mencapai 500,000 unit penghantaran pada Oktober 2024 sebelum melepasi satu juta unit pada Oktober 2025.
Prestasi itu turut dipacu pengembangan pasaran antarabangsa menerusi usaha sama Leapmotor International.
Menurut syarikat itu, pencapaian 1.5 juta unit tersebut mencerminkan keyakinan pengguna global terhadap jenama Leapmotor selain membuktikan komitmennya dalam menawarkan penyelesaian mobiliti elektrik yang inovatif, praktikal dan mudah diakses.
Leapmotor turut menekankan fokusnya untuk membawa pengalaman mobiliti pintar kepada lebih ramai pengguna menerusi penawaran model yang pelbagai, daripada kereta bandar kompak untuk golongan muda hingga model keluarga.
Pendekatan berteraskan inovasi, kecekapan dan reka bentuk mesra pengguna dilihat terus membantu Leapmotor memperkukuhkan pengaruhnya dalam pasaran utama dunia ketika permintaan terhadap mobiliti elektrik semakin berkembang.








