Buletin

VOLVO EX60, EX90 TAMPIL DENGAN SISTEM PENGECASAN ‘PLUG AND GO’

Volvo Cars memperkenalkan fungsi Plug & Charge untuk model EX60 dan EX90 di Amerika Syarikat, sekali gus memudahkan proses pengecasan awam bagi pemilik kenderaan elektrik jenama itu.

Melalui teknologi tersebut, pengguna hanya perlu menyambungkan kabel pengecas ke kenderaan tanpa perlu lagi menggunakan aplikasi, kad akses atau melakukan proses pengesahan tambahan sebelum pengecasan bermula.

Sistem itu akan menguruskan pengesahan serta pembayaran secara automatik antara kenderaan dan rangkaian pengecas.

Buat masa ini, fungsi berkenaan sudah boleh digunakan oleh pemilik Volvo EX90, manakala pelanggan EX60 pula dijangka menikmati kemudahan sama apabila penghantaran model tersebut bermula di Amerika Syarikat pada penghujung 2026.

Volvo turut memaklumkan pengguna boleh mencari lokasi pengecas yang serasi menerusi sistem Google Automotive terbina dalam serta aplikasi Volvo Cars.

Ketika ini, lebih 35,000 lokasi pengecasan awam di seluruh Amerika Syarikat boleh diakses termasuk rangkaian Supercharger dan IONNA.

Bagaimanapun, Volvo EX90 model tahun 2025 perlu dilengkapi konfigurasi komputer teras Nvidia Orin bagi membolehkan fungsi Plug & Charge digunakan sepenuhnya.

Pengeluar automotif Sweden itu juga merancang untuk menambah lebih banyak rakan rangkaian pengecasan apabila teknologi tersebut diperluaskan kepada pelanggan EX60 pada masa akan datang.

Ketua Produk, Teknologi dan Tawaran Pengguna Volvo Car Americas, Jim Nichols berkata, EX60 dan EX90 melambangkan visi masa depan mobiliti Volvo yang menggabungkan aspek keselamatan, kelestarian serta teknologi berfokuskan pengguna.

Menurutnya, penambahan fungsi Plug & Charge akan memberikan pengalaman pemilikan yang lebih lancar kepada pelanggan kerana proses pengecasan awam kini menjadi semudah ‘plug and go’.

Google ads
Back to top button